PENYANYI kelab malam sering dipandang serong masyarakat, malah ada yang menghina dan mengaitkan kerjaya ini dengan perkara tidak bermoral.
Bagaimanapun, penyanyi yang peserta program popular, Gegar Vaganza musim ke-9, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom menepis persepsi negatif itu kerana baginya, ia juga sama seperti pekerjaan lain.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam di Langkawi menegaskan, tidak semua yang memilih kerjaya itu terbabit dengan perkara negatif, sebaliknya hanya mahu mencari rezeki dengan bakat yang dimiliki.
“Penyanyi kelab malam bukan orang jahat dan kami tahu jaga diri. Kami cuma mahu mencari rezeki.
“Saya dulu, selesai kerja terus pulang ke rumah. Tidak dinafikan, memang ada yang gemar melepak selepas habis waktu kerja, tetapi itu terserah pada individu tersebut.
“Hakikatnya, kami menyanyi cuma untuk mencari pendapatan dan kami tidaklah jahat seperti difikirkan,” katanya.
Penyanyi berusia 35 tahun itu bagaimanapun, bersyukur kerana sepanjang 17 tahun menyanyi di pusat hiburan, dia belum pernah bertemu dengan mereka yang memandang rendah terhadap pekerjaannya.
“Saya tahu ada yang berpendapat, penyanyi kelab malam suka berseronok-seronok. Tetapi, setakat ini saya tidak pernah dipandang serong hanya kerana memilih untuk bekerja di tempat seperti itu.
“Bagi yang memandang negatif, saya harap mereka tidak cepat menghakimi. Dekati dulu kerana kami bukan seperti yang disangkakan,” katanya.
Kata Tom lagi, dia tidak malu untuk mengakui pekerjaannya itu, malah anak-anaknya juga memahami minatnya.
“Selama 17 tahun saya cari makan dengan menyanyi di kelab malam. Dengan rezeki itu juga, saya besarkan anak-anak.
“Itu tempat saya memulakan tapak. Orang luar boleh berkata apa sahaja kerana mereka tidak berada dalam ‘dunia’ kami,” jelasnya.
Tom berkata, dia selesa bercerita secara terbuka kepada umum supaya tidak dipandang serong, meskipun kini melangkah setapak lagi apabila terpilih menyertai GV9.
“Setakat ini, tidak ada pula yang melemparkan kecaman hanya kerana saya penyanyi kelab malam. Alhamdulillah, saya menerima pelbagai komen positif di media sosial. Mungkin orang sekarang lebih berfikiran terbuka,” ujarnya.
Nak padam tatu
Sejak diumumkan sebagai peserta GV9, Tom antara bakat yang mencuri tumpuan. Antara yang paling diperkatakan tentang dirinya adalah penampilannya yang bertatu.
Juara program My Starz LG musim ketiga ini tampil bercerita kisah di sebalik tindakannya itu.
“Ramai yang ingat, saya membuat tatu kerana memberontak. Tetapi hakikatnya, saya terikut dengan kawan-kawan. Melihat mereka bertatu, saya juga ingin mencuba,” jelasnya.
Kata Tom, meskipun menyesal dengan tindakan tersebut, namun dia tidak boleh mengulang waktu.
Namun katanya lagi, jika diberikan peluang, dia mahu memadam tatu yang ada pada tubuhnya itu.
“Tentu sekali saya menyesal, tetapi benda sudah jadi. Untuk memadam tatu ini bukan mudah, ia menyakitkan dan mahal.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki lebih, saya memang nak padam. Tetapi, saya akan pilih untuk melakukan proses yang tidak menyakitkan.
“Saya difahamkan jika proses memadamnya akan memudaratkan diri, tidak perlu. Buat masa ini, saya bertawakal sahaja. Solat tetap solat, tetapi saya sentiasa berdoa agar Allah permudahkan dan terima ibadah saya,” katanya.
Jelas Tom lagi, dia tahu, dengan penampilan bertatu, dia akan menerima lebih banyak kecaman, apatah lagi kini setiap minggu muncul di skrin televisyen.
Namun kata Tom, dia kuatkan hati demi anak. Ujarnya, dia akan cuba fokus untuk pertandingan dan menolak tepi kecaman orang.
“Itu perkara sensitif kerana ia melibatkan agama. Kalau ikutkan, dengan keadaan saya sekarang, saya sudah tidak mahu menonjol dalam industri kerana tidak bersedia.
“Sebelum masuk GV9, saya sudah fikir semasak-masaknya. Saya tahu saya akan terima kecaman gara-gara bertatu.
“Tapi, saya fikir anak-anak. Saya buat semua ini kerana mereka, jadi saya tidak kisah dan rela berdepan kecaman. Kalau diikutkan, hati saya sudah tiada untuk industri seni. Tapi, demi anak-anak, saya buat,” tambahnya.
Imej baharu
Setelah bertahun-tahun menggayakan imej rambut dreadlock, Tom akhirnya memutuskan untuk mengubah imejnya demi GV9.
“Insya-Allah, saya akan tampil dengan imej baru. Sejak 16 tahun lalu, saya kekal dengan rambut dreadlock. Sebelum ini, saya pernah buka dan pasang balik. Tetapi, bila pasang kekal dua hingga tiga tahun.
“Saya buka terus rambut ini. Proses itu menyakitkan, malah ambil masa dua hingga tiga hari.
“Untuk konsert minggu ini, saya akan tampil berlainan. Buat masa ini, saya tak mahu dedahkan lagi. Tunggu konsert nanti,” katanya.
Disoal tentang pengalaman memiliki rambut dreadlock, Tom mengakui, perkara tersebut tidak mudah dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Saya gayakan rambut dreadlock ini sejak tahun 2007 lagi. Untuk membuatnya bukan murah, memakan kos antara RM800 hingga RM1,000.
“Penjagaannya juga memerlukan perbelanjaan yang banyak, kira-kira RM250 bagi membaiki kerosakan (rambut),” katanya.











