“KENAPA Sissy, kebelakangan ini banyak pula cerita tidak manis muncul di media sosial tentang awak? Tajuk yang dicanangkan juga agak menakutkan, sampai naik seram membacanya,”
Soalan pertama itu diajukan buat si manis 26 tahun ini, disambutnya tenang dengan ketawa kecil.
Menyusun bicara sebaik mungkin, Sissy Imann, sebagaimana yang dikenali, bijak mengeluarkan butir jawapan tanpa mudah melatah.
Dia masih mencuba untuk melihat kebaikan, meskipun tahu, apa yang diperkatakan itu tidak baik tentang dirinya.
“Tidaklah saya anggap itu jahat, cuma sekarang ini, banyak perkara yang membuatkan orang bercakap tentang saya. Tetapi, itu bukan bermakna saya suka dengan apa yang diperkatakan. Ada kala, kita tidak minta ia berlaku.
“Saya tidak tahu kenapa orang mesti bercakap buruk pasal saya. Kalau nak tahu, kena tanya orang itu. Sudah namanya dunia artis, apa saja yang kita buat, orang tetap akan bercakap. Pendekatan mudah, saya okeykan saja, tidak mahu pening kepala,” katanya.
Menjelas lanjut, Sissy tidak menolak, sejak sembilan tahun dalam industri seni dan banyak bergaul dengan artis senior serta mendapatkan nasihat mereka, ada satu perkara yang dipegangnya sebagai prinsip.
“Antara pesanan mereka, saya tidak perlu melatah jika orang bercakap tentang diri kita. Kalau orang selalu bercakap tentang kita, bermakna kita sudah buktikan keberadaan dalam ruang industri hiburan.
“Itu bermakna orang kisah pasal kita. Lebih baik ada benda yang hendak diperkatakan daripada tiada apa-apa langsung. Cuma satu, saya manusia biasa yang tiada kuasa untuk kawal apa orang nak cakap,” katanya.
Jauh di sudut hati, kata penyanyi yang popular dengan lagu Mungkin Kamu ini, tidak semua orang mahu tahu cerita negatif tentang artis yang mereka minati.
Masih ada yang ingin tahu perihal yang baik dan berita mengenai kerjaya. Cuma mungkin, kata Sissy, orang lebih pantas menghidu kisah tidak manis sebelum membuka mata pada sudut positif.
“Baru-baru ini, saya ada berkongsi sedikit luahan di Instagram dengan meletakkan keratan berita tentang kerjaya. Saya yakin masih ada yang ingin tahu mengenainya. Memanglah, kalau jadi artis, kena ada cerita negatif untuk cepat naik.
“Tetapi, saya yakin ramai juga yang mahu tahu cerita baik. Sebagai artis, kita kena suap netizen dengan cerita yang baik supaya cara mereka berfikir perlahan-lahan berubah.
“Orang rasa kita kena buat hal negatif, baru ada benda untuk diperkatakan dan nampak relevan. Sedangkan tidak perlu pun begitu. Sebagai individu, kita yang kena kawal. Kita suap perkara yang betul, mereka akan fikir dengan betul,” katanya.
Pasang impian lebih besar
Sempat melayangkan pertanyaan, adakah langkahnya ke London, baru-baru ini juga merupakan usahanya mencipta sebuah cerita yang baik untuk diberitakan kepada semua?
Laju kata setuju terbit dari bibirnya. Kongsi Sissy, dia membawa hasrat dan cita-cita untuk merakamkan lagu di The Abbey Road Studios, London dan ada hal lebih besar yang dirangka.
Pemergiannya ke sana bukan sekadar mahu merasai pengalaman merakamkan lagu di tempat hebat itu.
“Saya ambil masa dua minggu untuk bercuti di luar negara, baru-baru ini. Malah, itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke kota London. Satu pengalaman yang menarik dan bagi yang mengenali, tentu tahu saya ini memang tidak pandai duduk diam.
“Sebenarnya, sudah lama saya simpan hasrat untuk merakamkan lagu di situ. Dua bulan sebelum pergi ke London, saya dapat berita studio itu sedang dalam proses renovasi. Hampa juga dan saya anggap mungkin tiada rezeki.
“Tetapi, tahu-tahu dapat berita, studio itu ada slot untuk saya. Memang gembira bukan kepalang! Saya ambil peluang itu walaupun pada asalnya, hanya mahu bercuti di sana,” katanya.
Sememangnya ia rezeki besar, kata Sissy, kerana tidak mudah untuk menembus masuk merakamkan lagu di situ disebabkan pihak studio benar-benar meneliti portfolio seseorang penyanyi sebelum memberi lampu hijau.
Malah, kata wanita ini, pengalaman bekerja dengan pasukan di studio itu juga sangat berbeza membuatkan dia teruja dan kagum.
“Mereka sangat profesional. Bayangkan, saya ini bukan siapa-siapa, malah hadir ke sana pada asalnya membawa niat untuk mencuba. Tidak sangka, laluan dipermudahkan-Nya.
“Baru saja saya mahu perkenalkan diri, mereka kata tidak perlu kerana sudah buat kajian menyeluruh mengenai saya. Dari sudut ton suara, muzik, lagu, latar belakang saya, pendek kata, semua mereka tahu.
“Kagum pun iya, cuak pun iya. Mana tidaknya, kalau saya melakukan kesalahan, malulah. Kita pun pada masa sama, membawa nama negara,” katanya.
Bukan itu sahaja, kata Sissy, sebagai anak Malaysia, dia bangga kerana menjadi penyanyi wanita tempatan pertama yang merakamkan lagu di studio berprestij berkenaan.
Ia setelah Allahyarham Datuk Sudirman Arshad (penyanyi lelaki Malaysia pertama merakamkan lagu di The Abbey Road Studio) dan kumpulan Masdo sebagai band tempatan pertama berbuat demikian.
“Saya tidak letakkan sesiapa sebagai rujukan atau mahu ikut jejak langkah mereka. Bagi saya, ini cuma perjalanan peribadi dan minat yang telah lama saya simpan. Saya lebih kepada memuaskan hati sendiri.
“Sudah sembilan tahun dalam industri, masih ada yang belum memahami haluan dan konsep muzik saya. Apabila ada album yang mempunyai kualiti antarabangsa, saya sasarkan untuk sertai festival muzik.
“Untuk sertai festival, kena ada album. Walaupun mungkin orang kata baru sekarang nak keluarkan album, saya tidak kisah. Anggap saja ia pengenalan yang tertangguh,” katanya.
Masih bergelut
Apabila berulang kali dia menyebut tentang angka sembilan tahun sebagai tanda usia perjalanan kerjayanya, Sissy tidak menolak, dia masih bergelut untuk memastikan kerja seninya kekal baik dan relevan.
Kata Sissy, mana mungkin sebagai anak seni, dia tidak melalui jerih-perih dan suka duka di balik tabir, apatah lagi kehidupan ini bukan cerita dongeng.
“Saya masih merangkak, jatuh bangun, tergolek dan bangun balik, apa sahaja tetap saya lalui. Saya belum lagi berada pada tahap yang selesa. Cuma, kalau nak bandingkan, sekarang agak jauh berbeza.
“Nak kata berjaya, terkenal itu belum. Hal itu bagi saya sangat subjektif. Ada yang kata, saya sudah buat macam-macam. Jadi penyanyi, komposer, penulis lirik, pengacara dan pelakon. Tetapi, saya rasa diri masih bergelut untuk kekalkan kerjaya seni,” katanya.
Berikutan itu, Sissy memberi gambaran, suatu masa nanti, mungkin dia akan lebih selesa berada di belakang tabir.
Cuma, sebagai guru muzik, sukar untuk Sissy tepis, berada di atas pentas dan di depan kamera juga menjadi keperluan bagi dia meraih segala pengalaman itu.
“Di belakang tabir? Memang itu tempat yang saya nampak pada masa akan datang. Secara peribadi, antara berada di pentas dan studio, saya lebih suka di studio. Apabila jadi guru muzik, kita lebih tahu teori.
“Kalau tidak menjayakan persembahan dan tunjukkan muzik, bagaimana saya akan membuat pelajar percaya dan yakin? Kita kena tahu apa yang berlaku dalam ruang keseluruhan pentas kerana perkara itu juga penting.
“Kalau tidak tahu banyak perkara di pentas, tiada pengalaman buat persembahan, susah untuk yakinkan anak murid. Saya buat semua ini supaya boleh bercakap berdasarkan pengalaman sendiri untuk berkongsi ilmu,” katanya yang ingin menjadi penerbit muzik.










