Alicia lega isu bayaran model selesai - Utusan Malaysia

 Alicia lega isu bayaran model selesai

ALICIA Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan peragawati, Alicia Amin, 27, kini mampu menarik nafas lega apabila perjuangannya menuntut bela isu bayaran tertangguh segelintir peragawati telah selesai.

Walaupun terdapat beberapa rakannya masih menanti bayaran dilunaskan, Alicia bersyukur kerana ramai di antara mereka sudah menerima jumlah yang dijanjikan.

“Saya rasa lega apabila perjuangan untuk peragawati dalam industri fesyen akhirnya menerima maklum balas positif. Lapan individu yang datang bertemu saya sebelum ini sudah menerima bayaran mereka.

“Masih berbaki tiga peragawati yang belum mendapat bayaran, namun pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikannya pada hujung bulan ini.

“Walaupun ada syarikat guaman menawarkan untuk membawa isu ini ke mahkamah, saya memilih berbincang secara baik dengan penganjur,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem, Rasuk di GSC Tropicana Mall, Petaling Jaya, kelmarin.

Sebelum ini, Alicia muncul membawa sepanduk sebagai tanda protes pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2022), susulan isu pembayaran model yang tidak dibayar dan tidak mendapat bayaran.

Alicia berkata, dia tidak berkecil hati apabila model lain enggan bersama-samanya dalam usaha itu kerana faham mereka masih mencari rezeki dalam bidang peragaan.

“Ketika berada di belakang pentas KLFW 2022, ramai model datang dan berterima kasih kerana mereka sudah menerima bayaran untuk penganjuran tahun ini.

“Saya juga serba salah kerana pernah bekerjasama dengan penganjur. Sebelum ini, saya pernah mengajaknya untuk berbincang, namun tiada tindakan.

“Disebabkan itu, saya nekad membuat protes pada acara itu. Saya ada ajak beberapa model lain, tetapi nampaknya saya terpaksa berjuang sendirian.

“Tidak mengapa, malah saya faham dan tidak menyalahkan mereka kerana masih perlu mencari rezeki dalam bidang peragaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya