Tiga generasi gegar Zepp KL - Utusan Malaysia

Tiga generasi gegar Zepp KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan lebat tidak menghalang semangat 2,500 peminat muzik rock menyaksikan konsert istimewa Yolo Live Session 3 Generasi yang buat julung kalinya menggabungkan tiga nama besar iatu Noh Salleh, kumpulan Spider dan XPDC di pentas terkemuka, Zepp Kuala Lumpur.

Peminat rata-ratanya tidak melepas peluang untuk menyaksikan persembahan bertenaga yang mengembalikan keterujaan penonton menerusi lagu yang pernah melonjakkan populariti Noh, Spider dan XPDC.

Berlangsung lebih dua jam, Yolo Live Session 3 Generasi bermula dengan persembahan bertenaga Spider yang menggegarkan dengan lagu hits mereka seperti Anti Graviti, Kacap Terlabik, Kau Saja, Hidupku dan Mungkinkah Terjadi.

Vokalisnya, Tam meluahkan kepuasan apabila diberi peluang berkongsi satu pentas dengan nama besar seperti XPDC untuk konsert sulung mereka.

“Rata-rata peminat sangat happening dan seronok. Penonton memaklumkan mereka tidak puas dengan durasi persembahan kami. Bagi mereka, terlalu singkat.

“Istimewanya, Datuk M. Nasir turut hadir memberi sokongan dan kami sempat membuat tribute spontan buat beliau menerusi lagu Mentera Semerah Padi,” katanya.

Noh yang mengambil alih pentas pada sesi seterusnya, memberi cetusan suasana santai menerusi persembahan lagu retro seperti Gelung, Renjana, Mr. Polia, Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

“Seramai 10 pemuzik mengiringi persembahan eksklusif saya pada malam ini. Muzik Jepun memberikan pengaruh yang cukup besar dalam hidup saya sejak kanak-kanak lagi.

“Jadi, saya sangat bangga kerana diberi peluang membuat persembahan di sini,” kongsinya.

Kumpulan rock, XPDC, meskipun sedikit kurang menyengat malam itu, tetap memberikan persembahan terbaik.

Lagu rock malar segar dipersembahkan seperti Ntahapahapantah, Raja Kertas, medley Titian Perjalanan, Hentian Ini dan Aku Dan Sesuatu, selain Selendang Merdeka, Kita Pengyu, Senapang Patah, Kabus Semalam, Hidup Bersama, Bukan Milik Aku dan Semangat Yang Hilang.

Vokalis utama, Mael, walaupun tidak mampu meneruskan nyanyian bagi tiga lagu terakhir, tetap tidak menghampakan. Dia membuktikan profesionalisme sebenar, terus berada di atas pentas sehingga konsert tersebut melabuhkan tirainya.

“Saya ingin memohon maaf kerana tidak mampu menghabiskan tiga lagu terakhir kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

“Namun, saya bersyukur kerana anak saya, Syed Israffil Syed Ismail tampil menyambung baki persembahan.

“Terima kasih kepada peminat yang sanggup membeli tiket dan terima kasih kepada penganjur, YOLO Malaysia atas peluang yang diberikan,” jelas Mael.

Penutup konsert pada malam itu digamatkan dengan persembahan gabungan ketiga-tiga artis yang mempersembahkan lagu keramat, Semangat Yang Hilang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×