PETALING JAYA: Pemain gitar legenda, Man Kidal, mendedahkan sakit belakang yang dialaminya sejak 15 tahun lalu adalah berpunca daripada ketumbuhan pada bahagian kanan badannya.
Menurut Man, dia mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan, bulan lalu kerana sudah tidak tahan sakit hingga terpaksa tidur meniarap.
“Ada dua cyst pada bahagian kanan belakang saya. Pada awalnya, saya tidak tahu yang itu adalah cyst kerana sudah ada sejak 15 tahun lalu.
“Ia menyebabkan saya sakit dan tidak selesa. Saya ingatkan sekadar sakit belakang biasa, jadi saya letak minyak panas untuk mengurangkan rasa tidak selesa itu.
“Tidak sangka pula, minyak panas itu menyebabkan ia menjadi lebih teruk dan saya terpaksa menjalani pembedahan. Saya tidak tahan lagi kerana tidur pun kena meniarap. Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah okey,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain gitar yang memberikan sentuhannya pada lagu Sembah itu turut berkongsi mengenai kesan jangka panjang dialaminya selepas dijangkiti Covid-19, tahun lalu.
“Saya dijangkiti varian Delta yang teruk. Saya hampir berputus asa dan menganggap tiada harapan untuk hidup serta hanya fikirkan kematian.
“Kesan jangkitan itu agak teruk dan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Dari sudut tenaga, saya jadi cepat penat,” kongsinya.
Man ditemui pada majlis sidang media Konsert Rock On 40 The Legends di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd (MNSB) itu menggabungkan Man dengan penyanyi rock legenda tanah air iaitu Datuk Awie, Muss, Ella dan Ritz Metalasia. Ia akan berlangsung pada 2 dan 3 Disember ini di Istana Budaya. Tiket berharga RM288 hingga RM888.