MESKIPUN beberapa filem terdahulu garapannya pernah mencatat kutipan memberangsangkan, Syafiq Yusof tidak melihat pencapaian itu memberinya ruang untuk terus selesa.
Syafiq yang mempertaruhkan francais terbaharu Abang Long Fadil iaitu Abang Long Fadil 3 akur, selera penonton sukar diduga, namun dia enggan menjadikan perkara itu sebagai beban yang menyekat langkahnya.
Bakal menemui penonton di pawagam bermula 8 September depan, anak penerbit berkaliber, Datuk Yusof Haslam itu berkata, dia sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan dan menyerahkan kepada penonton untuk menentukan nasib Abang Long Fadil 3.
Sutradara berusia 29 tahun itu bagaimanapun, berharap penonton bersikap terbuka dan tidak membandingkan filem itu dengan produksi terbaharu abangnya, Syamsul iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mengaut kutipan lebih RM90 juta.
“Susah untuk saya mengulas perkara ini kerana ia di luar bidang kuasa. Saya cuma berharap penonton memberikan ruang kepada Abang Long Fadil 3 untuk bernafas selesa di pawagam.
“Secara jujur, saya kagum dengan pencapaian Mat Kilau yang diarahkan abang. Sejak awal pembabitan, saya menganggap ayah dan abang sebagai sifu yang banyak membimbing dalam seni pengarahan. Kalau dilihat, kebanyakan acuan filem arahan saya sama seperti mereka.
“Setiap filem yang mereka hasilkan pasti mendapat sambutan. Tiada satu pun yang gagal. Saya akui tidak mudah untuk berdiri setanding mereka. Malah, saya tidak pernah bercita-cita untuk membenamkan rekod kutipan yang dicipta Mat Kilau kerana ia terlalu hebat,” katanya.
Bercakap tentang pandangan Syamsul mengenai filem terbaharunya itu, Syafiq memaklumkan, dia belum menerima sebarang maklum balas daripada abangnya.
“Syamsul tidak pernah mengganggu kerja saya. Selalunya, dia akan menonton dahulu, baru dia memberikan pandangannya.
“Cuma, saya sangat berharap penonton tidak membandingkan filem dan hasil kreativiti kami. Saya bagaimanapun, sentiasa terbuka menerima kritikan kerana dari situ, saya dapat mengenal pasti kelemahan dan belajar memperbaikinya,” katanya.
BAPA PENGUAT SEMANGAT
Sebagai anak kepada pengarah dan penerbit tersohor, Syafiq mengakui, bapanya antara insan yang banyak menyuntik semangat untuk dia terus menghasilkan filem.
Kata Syafiq, dia sedar pencapaiannya belum setanding abang dan bapanya yang telah membukitkan keampuhan mereka dalam gelanggang industri perfileman.
“Filem saya pula mendapat sambutan yang berbeza. Ada yang diterima baik di pasaran, ada yang sambutannya biasa-biasa saja. Pengarah mana yang tidak mahu semua filem mereka berjaya.
“Bapa selalu memberikan kata semangat dan sentiasa mendorong saya untuk terus berkarya. Baginya, berjaya atau tidak filem itu, jangan pernah sesekali mahu untuk berhenti menghasilkannya.
“Saya pernah pada satu tahap ‘penat’ untuk terus bikin filem dan berasakan bakat sebagai pengarah tak ada pada saya,” katanya.
Sambung Syafiq, membikin filem bukan mudah, malah perniagaan itu mengundang pelbagai risiko dan halangan yang perlu dihadapi pengarah dan penerbit.
“Kos pembikinan pula bukan sedikit. Saya tidak mahu kecewakan ramai orang apabila filem arahan saya tidak laku. Lebih sukar jika penerbit itu bapa sendiri.
“Cabaran itu sangat memenatkan, terutama apabila filem yang kita hasilkan dipandang sepi penonton,” katanya.










