JIKA sebelum ini, nada suaranya seakan-akan tersekat setiap kali membuka bicara mengenai pemergian isteri tercinta, namun kali ini, Shuib memperlihatkan ketenangan yang cukup berbeza.
Barangkali dia sudah semakin kuat. Malah, dia perlu kuat waima dalam apa juga keadaan sekali pun, apatah lagi pada kebanyakan masa, keluarga dan anak-anak sangat memerlukannya.
Pun begitu, mana mungkin mudah untuk dia melupakan nama wanita yang pernah menghidupkan cinta di hatinya selama ini. Pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, membuatkan Shuib merindu setiap masa.
“Tak terasa sudah setahun pemergian arwah. Kami seluruh keluarga berasakan dia seperti keluar bekerja atau pergi bercuti tapi tidak balik-balik. Rasa macam masih ada. Tapi itulah, sudah setahun rupanya arwah tiada.
“Alhamdulillah, saya semakin baik dan keadaan juga terkawal. Mungkin saya sudah semakin berlapang dada dan hati tidak lagi berat seperti yang ditanggung sebelum ini.
“Pada 9 Ogos lalu, saya ada pergi menziarahi pusaranya. Sudah habis menangis, saya membersih dan mencantikkan kuburnya. Itu yang saya selalu buat setiap kali rindu,” katanya.
Tambah Shuib, kalau mahu menyebut tentang berapa banyak sudah air mata kerinduan sudah ditumpahkan, tentu sukar untuk dihitung.
Adakala, dia juga seperti budak-budak kecil, menangis teresak-esak, mengharap pemergian arwah cuma mimpi perit.
“Sebenarnya, apa yang orang tak tahu, saya ini banyak menangis. Bila datang, perasaan itu tidak dapat ditahan-tahan. Datangnya pula tiba-tiba.
“Saya jadi macam budak kecil. Tanpa dipaksa-paksa terburai air mata apabila teringatkan dia. Menangis juga bagi saya antara cara untuk melepaskan segala rasa. Buang rasa sakit, buang rasa sedih yang terbuku,” katanya.
Tidak malu mengakui perkara itu, bagi selebriti dan usahawan popular ini, tidak mudah membuang segala kenangan yang disimpan, apatah lagi umum tahu, bagaimana akrabnya dia dan arwah Sarah.
Kata lelaki berusia 38 tahun ini, satu yang dia pelajari, kenangan juga menjadi perkara yang sangat mahal dan hanya itu yang didakap erat saat arwah sudah tiada kini.
“Dulu, kalau orang sebut pasal kenangan, kita akan rasa, biasa saja. Tapi selepas dunia saya berubah bila arwah tiada, kenangan itu automatik jadi sangat mahal.
“Terus-terang, hari-hari saya dengar lagu dia. Bila saya putarkan lagu nyanyiannya, semua kenangan kembali menjelma. Kalau dulu saya sekadar dengar lagu nyanyiannya, tapi sekarang ia jadi lebih mendalam dan menusuk jiwa,” katanya.










