Nilai dahulu bakat saya - Ruhainies - Utusan Malaysia

Nilai dahulu bakat saya – Ruhainies

RUHAINIES turut berdepan pelbagai cabaran untuk memahat nama dalam industri hiburan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tujuh tahun berusaha memahat nama kukuh sebagai pelakon, pelbagai onak duri dan pancaroba dilalui Ruhainies untuk berada pada kedudukannya hari ini.

Dalam perjalanan itu, Ruhainies atau nama lengkapnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 30, juga tidak terlepas daripada perasaan kecewa, namun selama ini memilih untuk mengunci mulut kerana bimbang disalahertikan.

“Banyak perkara yang membuat saya terasa hati, tetapi saya simpan sendiri kerana tiada siapa yang kisah. Setiap kali terasa hati, saya akan diam dan biarkan saja kerana tidak semua perkara kita boleh ubah,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama Cukup Derita Itu berkata, pengalaman namanya ditolak tanpa terlebih dahulu bakatnya dinilai antara kekecewaan yang begitu membekas di hatinya.

“Saya tidak terasa hati, cuma sedih diperlakukan begitu. Saya masuk dalam industri hiburan untuk mempertaruhkan bakat. Namun, belum sempat bakat dinilai, sudah ditolak.

“Jangan hanya kerana melihat luaran, langsung bakat diletakkan ke tepi. Bagaimana mereka tahu sama ada saya mampu membawa sesuatu watak atau sebaliknya kalau tidak memberi peluang?,” katanya.

Ruhainies berkata, lebih membuatnya terkilan apabila ada segelintir pihak beranggapan, kehadirannya dalam industri hiburan hanya kerana mahu mengejar populariti.

Perkara itu, akui anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu bukan keutamaan kerana permulaan langkahnya adalah atas dasar minat.

“Jangan terus membuat persepsi, sedangkan peluang membuktikan bakat tidak diberikan. Kadang-kadang mereka tidak tahu pun kemampuan saya hanya kerana persepsi seperti: ‘Dia mesti tidak boleh membawa watak ini’.

“Perkara seperti itu yang membuatkan saya sedih. Tiada siapa yang suka diri dihakimi tanpa terlebih dulu diberi ruang untuk membuktikan kemampuan.

“Saya di sini bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya saya lakukan atas dasar minat yang mendalam,” katanya.

Kecaman? Kita tak dapat lari

Sememangnya anak seni tidak terlepas dan tidak dapat lari daripada ‘mulut pedas’ warganet. Namun, kata pelakon drama Hello Mr Perfect ini, dia seboleh-bolehnya mengelak daripada membaca komen kurang enak tentang dirinya kerana tidak mahu dibebani tekanan.

“Saya bukan popular sangat dalam industri. Tetapi, apabila berada dalam bidang ini, kita tidak boleh lari daripada kecaman.

“Jika anak seni lain boleh menerima dan menelan segala kecaman, saya juga terpaksa hadap. Cuma, saya cuba untuk tidak membaca segala kritikan netizen, terutama komen yang boleh tahan lantang mempertikai.

“Jika ada berlaku sesuatu yang mengundang perdebatan netizen, saya akan elakkan media sosial untuk seketika,” katanya.

Tambah Ruhainies lagi, dia turut mengambil langkah berhati-hati dalam setiap perkara, namun ada sahaja tindakannya yang tidak kena pada mata segelintir warganet.

“Saya tahu batas dan apa yang saya lakukan. Saya juga sangat berhati-hati supaya tidak mencetuskan pandangan kurang enak orang luar. Namun, dalam kita menjaga, tetap ada yang akan mengecam.

“Kita tidak dapat lari. Sudah tujuh tahun dalam industri, saya sudah terbiasa. Namun, banyak lagi perkara saya perlu belajar” jelasnya.

‘Ini semua sebab kerja, tiada yang personal’

Sebelum ini, nama Ruhainies pernah menjadi buah mulut netizen kerana dikatakan terlalu rapat dengan pelakon lelaki yang bergandingan dengannya dalam sebuah drama.

Bagi empunya badan, segala perkongsian video atau foto mesra bersama pelakon lelaki hanya untuk mempromosikan drama kerana itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.

“Saya tidak pernah diterpa gosip liar, sebaliknya selalu dikaitkan dengan pelakon yang menjadi gandingan. Itu bukan masalah kerana semua maklum, kami hanya mempromosikan drama yang dibintangi bersama.

“Pelbagai komen yang saya dapat, saya tidak boleh halang. Orang luar bebas memberikan pendapat mereka. Saya cuma lakukan atas dasar kerja, tiada yang personal.

“Apabila pihak produksi sudah membayar dan stesen televisyen memilih kita, jadi saya akan lakukan yang terbaik bagi mempromosi drama yang saya lakonkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×