Lizzy tak sabar jadi ibu - Utusan Malaysia

Lizzy tak sabar jadi ibu

ELIZABETH Tan sudah bersedia untuk menggalas peranan sebagai ibu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, menyatakan dia tidak mahu lagi menangguhkan hasrat untuk hamil, malah sudah bersedia menggalas gelaran sebagai ibu.

Elizabeth yang mesra disapa Lizzy berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana desakan pihak luar, sebaliknya atas kehendak dan persetujuan antara dia dan suami.

Namun, Elizabeth mengakui, sesekali timbul juga perasaan bimbang apabila memikirkan apakah peralihan fasa dalam hidupnya itu nanti akan mempengaruhi perjalanan kariernya, terutama selepas mempunyai cahaya mata.

“Saya yang nak ada bayi, walaupun kadang-kadang saya takut apabila memikirkan perubahan selepas dikurniakan zuriat.

“Saya tahu apabila sudah mempunyai anak, perubahan itu akan mempengaruhi karier saya kerana dalam apa juga perkara, saya perlu mendahulukan tanggungjawab sebagai ibu.

“Bagaimanapun, saya rasa ia mungkin hanya pada peringkat permulaan kerana masih belum terbiasa dengan peralihan itu. Saya pun perlu melangkah ke peringkat seterusnya dalam hidup dan tidak hanya selesa dengan apa yang saya ada sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu menyerahkan segala urusan kepada ketentuan Tuhan, namun tidak akan sesekali berhenti berusaha untuk menimang bayi sulung.

“Saya rancang mahu mencuba pada hujung tahun ini, namun semuanya Tuhan yang tentukan. Kalau ada rezeki, saya gembira.

“Tetapi, jika sebaliknya, saya akan terus mencuba. Tidak semua yang kita impikan dipenuhi sekelip mata. Mungkin saya perlu tunggu setahun dua, tiada siapa yang tahu.

“Tetapi, saya percaya apabila tiba masa yang sesuai, saya akan dapat juga menimang cahaya mata. Saya pegang itu,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, penyanyi Semua Sudah itu membuat pengakuan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata, selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga.

Lizzy melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan, Siew Jim di sebuah gereja di Gombak, Selangor pada Mac 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya