Kemerdekaan negara unik dengan belaian Islam - Utusan Malaysia

Kemerdekaan negara unik dengan belaian Islam

RAKYAT mesti mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dengannya umat Islam bebas beribadat tanpa sebarang sekatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Logiknya Muslim Malaysia patut menjadi penghuni syurga paling ramai kerana mereka sudah merdeka dan bebas mempraktikkan Islam di mana sahaja tanpa halangan. Ketika Muslim sesetengah negara terpaksa berjalan ratusan kilometer mencari masjid, Muslim Malaysia hanya perlu ‘mengensot’ ke tangga surau atau masjid. Malangnya, sesetengah Muslim Malaysia bak ayam yang kelaparan mati dalam gudang dedak atau seperti ikan yang mati lemas dalam lautan luas.”

Pernah saya temui seorang pelarian politik yang berasal dari Russia. Dia menumpang teduh di Malaysia di bawah program Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) . Hidupnya ala kadar, kais pagi makan pagi, kais petang kadangkala rezeki tak datang-datang. Orangnya kurus pucat dek kekurangan hidup yang dialami.

Status tiada negara atau ‘tidak merdeka’ yang disandangnya membataskan rezekinya walaupun dia miliki ijazah doktor falsafah (PhD) dari universiti terkemuka negara. Usianya sudah mencecah 50 tahun tapi masih bujang tanpa haluan hidup di Malaysia.

Pernah seorang pelajar saya dari sebuah negara minoriti Muslim kelihatan sangat kemaruk untuk solat berjemaah di masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Lima waktu solat beliau setia mengisi saf pertama.

Dalam syukur beliau menceritakan sudah puluhan tahun Muslim di negaranya sukar untuk solat berjemaah secara terbuka, lalu nikmat yang diperolehinya ketika belajar di Malaysia dihayati bersungguh-sungguh. Malangnya, ada segelintir Muslim Malaysia yang sesat mencari tangga masjid atau hanya mengenal masjid setelah jasadnya dikafan untuk dimandikan jemaah.

Pelajar saya itu juga kemaruk belajar al-Quran dengan saya. Tak cukup masa dalam kelas, beliau akan datang ke bilik untuk sesi tambahan. Katanya, di negaranya dahulu, ibu bapanya cuma mampu mengajarnya al-Fatihah kerana kekurangan mushaf al-Quran dan guru.

Sekali lagi, sangat malang bagi segelintir Muslim Malaysia yang tak mampu membaca al-Quran dan hanya mampu mengharap bacaan Yasin kepadanya setelah tubuh terbujur kaku. Sungguh! Ini contoh orang yang kufur nikmat dalam sebuah kemerdekaan fizikal dan rohani.

Setiap kali terkenang dua kisah di atas, saya memanjatkan syukur melangit atas nikmat kemerdekaan yang Allah anugerahi kepada kita rakyat Malaysia. Kemerdekaan Malaysia sangat unik berbanding kebanyakan negara lain kerana Muslim Malaysia bak anak manja dipupuk mesra Perlembagaan negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Nikmat merdeka dalam payungan Islam sebagai agama rasmi wajib disyukuri semua. Pernah kawan saya yang membesarkan anak-anak di Jepun mengeluh, risaukan akidah anak-anaknya kerana suasana Islam yang sukar dipupuk. Sebelum berhijrah ke Jepun dahulu, beliau tidak berapa kisah nikmat yang dinikmatinya sebagai Muslim Malaysia yang merdeka. Benarlah kata bijaksana, nikmat hanya disyukuri setelah ia hilang.

Ketika melihat sikap segelintir Muslim Malaysia yang tidak menghargai kemerdekaan mereka ini untuk diisi dengan bekal rohani buat bertemu Allah, saya teringat kisah Bani Israil dan Nabi Musa a.s.

Ketika masih dijajah Firaun, mereka hamba Allah yang patuh. Buktinya, Allah memanggil mereka dengan panggilan ‘hamba’. Dalam bicara al-Quran, panggilan ‘hamba’ adalah panggilan manja tanda sayang Allah kepada insan pilihan-Nya. Kita boleh lihat beberapa kali Allah memanjakan manusia pilihan seperti Rasulullah SAW dan Nabi Isa dengan panggilan tersebut (al-Israk:1, Maryam:30, al-Zukhruf:59 dan al-Jinn:19)

Dalam konteks Bani Israil, Allah berfirman yang bermaksud: (Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa para hamba-Ku (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)”. (al-Syu’ara’: 52)

Bukan sekali sebutan ‘hambaku’ yang penuh mesra dipakai kepada mereka, tetapi berkali-kali seperti firman Allah dalam surah Taha:77 dan al-Dukhan:23-24.

Sayangnya, Bani Israil hanya menjadi hamba Allah ketika susah. Selepas mereka bebas daripada Firaun, naluri kehaiwanan mereka mula muncul. Pelbagai arahan Allah melalui Nabi Musa a.s ditentang dan dicabuli satu persatu sehingga Nabi Musa a.s terpaksa mengingatkan mereka nikmat kemerdekaan yang mereka nikmati.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk. Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”. (Ibrahim:6)

Kebiadaban mereka kepada Nabi Musa memuncak ketika mengingkari arahan Allah untuk masuk ke Baitulmaqdis. Lantaran kebiadaban mereka itu, Allah mengharamkan sebarang bumi untuk mereka selama 40 tahun. (al-Ma’idah:24-26).

Pengajaran kepada kita semua, syukuri nikmat kemerdekaan ini dengan pengisian sepatutnya. Jangan rosakkan nikmat ini dengan pencemaran rohani yang boleh menjadikan kita seperti Bani Israil. Setelah mereka berulang kali melanggar perintah Allah, mereka akhirnya dijajah untuk kali kedua oleh orang lain.

Ia diingatkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba Kami yang kuat, gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (al-Israk:5).

Kita di Malaysia harus peka dengan pelbagai penjajahan baharu seperti penjajahan ekonomi, fizikal dan mental. Penjajahan mental pula perlu diberi perhatian lebih kerana ia boleh merosakkan jati diri Muslim dari dalam.

Seperti sebuah komputer, hardware yang berkuasa akan hilang fungsi jika softwarenya dirosakkan pelbagai virus berbahaya. Nikmat merdeka dalam belaian Islam sebagai agama rasmi boleh runtuh jika ancaman bahaya maksiat seperti budaya hiburan melampau melalui konsert penyanyi asing tidak dibendung atau dikawal.

Perlu disedari ramai penyanyi asing adalah ‘duta senyap’ pelbagai fahaman songsang termasuk amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Semoga Allah kekalkan kemerdekaan ini secara fizikal dan rohani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×