MUNGKIN namanya tidak segah Tan Sri Michelle Yeoh yang mencipta nama di Hollywood, namun Nancie Foo satu ketika dahulu pernah menjadi ‘wajah’ yang sinonim dengan masyarakat Melayu kerana sering tampil dalam filem dan drama tempatan.
Penglibatannya dalam pertandingan ratu cantik dan dunia peragaan pada 1979 telah membuka laluan kepada anak kelahiran Selangor ini untuk menerjah masuk ke dalam dunia hiburan tanah air.
Kefasihannya bertutur dalam bahasa kebangsaan juga memudahkan perjalanannya menjadi pelakon dalam bidang yang didominasi pelakon berbangsa Melayu.
Menerusi perbualan telefon, baru-baru ini, Nancie menceritakan pengalaman bagaimana minatnya mula timbul untuk menjadi pelakon dalam drama dan filem Melayu.
Kata Nancie, dia menerima pendedahan awal sejak di bangku sekolah dengan mengikuti aktiviti lakonan pentas dan sebagainya.
“Saya minat tengok drama Melayu. Pada waktu itu, saya selalu tengok slot Drama Minggu Ini yang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa gagal.
“Sehinggalah hati saya terpanggil untuk menulis surat kepada RTM dan minta diberi peluang hadir uji bakat. Surat saya dibaca dan dibalas penerbit, Helan Abu pada ketika itu.
“Nasib saya baik, selepas hadir uji bakat, saya terus ditawarkan berlakon drama Tepuk Air Di Dulang. Jadi, perjalanan saya masuk ke dunia lakonan sebenarnya mudah,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Nancie, ibu bapanya tidak pernah menghalang dan mengatur masa depannya mengikut kemahuan mereka.
Katanya dia bertuah kerana memiliki orang tua yang faham kehendak anak dan tidak pernah memaksanya menjadi orang lain.
“Mak dan ayah tak pernah halang saya jadi pelakon sebab mereka tahu saya tak minat belajar. Kecenderungan saya lebih kepada dunia seni. Tapi, sebagai anak, tentunya saya perlu mendapatkan persetujuan mereka dalam apa juga keputusan yang saya ambil,” katanya lagi.
Kefasihan Nancie bertutur dalam bahasa Melayu menjadi kekuatan untuk dia membolosi dunia seni tempatan. Apabila disoal tentang perkara itu, ibu tiga anak ini mengakui, selesa bergaul dan berkawan dengan individu berbangsa lain.
“Saya ada ramai kawan Melayu di sekolah. Disebabkan itu, saya boleh berbahasa Melayu dengan baik.
“Saya selesa bergaul dengan orang Melayu, malah saya juga belajar tentang budaya dan adat mereka,” ujarnya.
Memori manis menang trofi
Berkongsi tentang pengalaman manis sepanjang menjadi anak wayang, Nancie mengakui, kemenangan trofi Anugerah Bintang Harapan, Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) menjadi memori manis yang tidak dilupakan sehingga ke hari ini.
Kemenangan tersebut menjadikan Nancie sebagai pelakon bukan Melayu pertama yang meraih anugerah berprestij itu.
“Saya tak percaya yang saya akan dipilih sebagai pemenang anugerah itu. Pengalaman itu terlalu manis dan tak mungkin saya lupakan.
“Bayangkan nama tercalon dalam kalangan pelakon hebat seperti Maria Arshad, Raja Norbaizura dan Julie Dahlan. Memang tak disangka-sangka,” ceritanya.
Berkongsi pula tentang pengalaman menakutkan, Nancie memberitahu, kenangan melihat rakannya yang juga pelakon, Alice Voon dirasuk jin menjadi antara peristiwa yang paling diingatinya.
“Kejadian itu berlaku sewaktu kami mengikuti penggambaran filem Main-Main Hantu yang diadakan di Melaka.
“Ketika penggambaran pada waktu malam, Alice yang lemah semangat dirasuk jin dan terus bertukar watak, memaki hamun serta menjerit kemarahan.
“Itu adalah saat yang sangat mencemaskan. Selepas kejadian tersebut, semua pelakon wanita tidur sebilik dan pergi ke tandas pun bersama-sama kerana ketakutan,” katanya.
Zaman sudah berakhir
Itu diakui sendiri Nancie Foo saat diajukan soalan tentang perancangan untuk kembali semula ke dalam dunia lakonan.
Jelasnya, kini dia hanya ingin memberi tumpuan kepada bidang penerbitan filem dan drama bersama rakan kongsi yang juga pelakon, Wendy Wong.
“Saya ada juga menerima tawaran sebagai pelakon undangan, contohnya dalam drama Gerak Khas yang diterbitkan sekitar tiga tahun lepas. Itulah lakonan yang terakhir.
“Tahun lepas, saya menerima pelawaan pengarah, Datin Paduka Shuhaimi Baba untuk menjadi pelakon undangan dalam drama bersiri Jefri Zain. Namun, terpaksa dibatalkan pada saat akhir ekoran urusan yang tak dapat saya elakkan,” ujarnya.
Kata Nancie lagi, meskipun sudah bersara daripada dunia lakonan, dia tidak melupakan terus minat tersebut dan akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang bersesuaian dengan kelapangannya.
“Saya akan pertimbangkan sekiranya tawaran lakonan itu tidak memakan masa lama.
“Setakat sehari dua, mungkin tak ada masalah. Tetapi, kalau memakan masa sehingga seminggu dua rasanya tidak,” katanya lagi.










