Along Eyzendy kecewa pementasan Muzikal Moyang Salleh batal - Utusan Malaysia

Along Eyzendy kecewa pementasan Muzikal Moyang Salleh batal

ALONG Eyzendy kecewa pementasan Muzikal Moyang Salleh dibatalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon teater Muzikal Moyang Salleh, Along Eyzendy, kecewa apabila menerima perkhabaran pementasan teater tersebut dibatalkan tanpa sebab kukuh.

Menurut Along, pementasan teater itu sepatutnya berlangsung pada hujung bulan ini dan kontrak juga telah ditandatangani oleh hampir kesemua kru yang menjayakan naskhah terbitan Siti Salbiah Zahari itu.

“Dukacita saya maklumkan, persembahan muzikal ini yang dijadualkan pada akhir bulan ini telah dibatalkan. Kontrak telah ditandatangani, malah promosi juga telah dibuat pelakon, namun ternyata rezeki tidak menyebelahi kami.

“Paling kecewa apabila semua yang terlibat telah memberikan komitmen seperti datang latihan, menghafal skrip dan terpaksa tolak tawaran yang datang semata-mata untuk menjayakan ‘show’ ini.

“Ia ternyata sia-sia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Along bagaimanapun, memilih untuk tidak menyatakan sebab atau punca pembatalan pementasan itu untuk menjaga air muka pihak yang bertanggungjawab.

“Sebagai orang teater, saya berharap perkara sebegini tidak diulangi mereka yang berhasrat mementaskan teater besar, terutama di Istana Budaya. Sudah-sudahlah mempermainkan teater,” katanya.

Menerusi perkongsian tersebut, beberapa rakan artis turut meninggalkan komen selain menyatakan kekecewaan mereka atas perkara yang menimpa keseluruhan produksi teater tersebut.

Antara rakan artis yang berbuat demikian ialah Azhan Rani, Fauziah Nawi, Namron, Yem Raja Lawak dan Amirul Hisyam.

Muzikal Moyang Salleh sepatutnya dipentaskan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65, selama enam hari bermula 26 Ogos ini. Pementasan ini menjanjikan kelainan daripada seni persembahan dan teknikal serta menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan.

Teater terbitan Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu ini dinaungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Menampilkan lebih 150 tenaga produksi termasuk pelakon, penari dan pemuzik, teater ini turut dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Serigar, Khir Rahman, Eliza Mustapa, Hairi Safwan, Mubarak Majid dan bakat baharu, Melissa Kelvin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya