BAGI mereka yang pernah menonton drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game di saluran Netflix, anda mungkin boleh memasukkan naskhah Nenek Bongkok Tiga dalam senarai pilihan drama tempatan baharu yang wajib ditonton.
Ini kerana drama ini menyajikan jalan cerita seakan-akan drama popular dunia itu, namun dalam versi berbeza menerusi suntikan elemen ‘berbau’ Nusantara yang lebih dekat dengan masyarakat kita.
Perkara ini diakui penerbitnya, Zurina Ramli, yang melihat naskhah Nenek Bongkok Tiga mampu menjadi hit dan popular dalam kalangan penonton tempatan yang gemarkan drama genre misteri atau thriller.
“Ini merupakan projek ketiga saya bersama saluran OTT, Viu. Sebelum ini, kami telah hasilkan drama Black S2 diikuti She Was Pretty yang diadaptasi daripada drama Korea.
“Kali ini, lebih mencabar kerana Nenek Bongkok Tiga merupakan drama bersiri original yang dihasilkan khas buat penonton Viu. Menariknya, naskhah ini kerana ada sedikit persamaan dengan Squid Game yang mendapat perhatian penonton di seluruh dunia.
“Bagaimanapun, tidak adil untuk mengatakan kita meniru naskhah tersebut kerana ia adalah dua karya yang berbeza. Persamaan mungkin hanya pada elemen permainan yang diselitkan, tetapi tidak secara keseluruhan,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenainya, kata Zurina, permainan yang dimasukkan dalam karya arahan Yusry Abdul Halim ini cenderung kepada permainan warisan masyarakat yang sering dimainkan semasa zaman kanak-kanak.
“Antara permainan yang saya boleh sebutkan adalah seperti Enjit-Enjit Semut dan Batu Seremban. Saya katakan, drama ini akan tampil berbeza walaupun mungkin ada yang mengaitkannya dengan Squid Game.
“Permainan yang dimasukkan ke dalam naskhah ini tidak cuma popular dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga di negara serantau. Di sini, kita angkat warisan Nusantara yang saya fikir mampu mencapai standard drama antarabangsa,”katanya.
Cabaran mencari rumah agam
Meletakkan banyak inisiatif untuk penghasilan drama Nenek Bongkok Tiga demi kepuasan penonton, Zurina berkata, produksi mereka juga berdepan dengan pelbagai cabaran tertentu.
Malah, katanya, setelah memasuki fasa pra-produksi juga masih buntu menemui rumah agam yang menepati struktur imaginasi penulis skrip.
“Rumah agam yang digambarkan oleh penulis skrip itu memainkan peranan yang besar dalam jalan cerita naskhah ini. Kami berdepan kesukaran untuk mencari rumah agam yang benar-benar menepati bayangan penulis skrip.
“Berbulan-bulan lamanya juga proses mencari itu dilakukan. Pasukan kami menjalankan usaha pencarian sehingga ke Pulau Pinang, Klang termasuk mengambil kira struktur binaan Istana Kellie di Perak untuk tujuan ini.
“Namun, kesemuanya bagai tidak menepati. Akhirnya, kami jumpa lokasi yang dirasakan sesuai di Kampung Budaya, Taman Botani, Shah Alam. Itu pun tidak sepenuhnya menepati apa yang digambarkan dalam skrip asal,” katanya.
Jelas Zurina, usaha keras produksi Independent Pictures diteruskan apabila banyak penambahan binaan dibuat di lokasi tersebut bagi menyempurnakan gambaran rumah agam yang dikehendaki.
Tidak menolak bahawa keseluruhan kos untuk ubah suai dan penambahan binaan rumah agam itu agak tinggi, Zurina bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah sebenar wang yang dilaburkan.
“Tidak dinafikan, jumlahnya sangat mahal. Sewa lokasi ini juga selama tiga bulan, termasuk kos ubah suai. Tetapi, ia dilihat sebagai satu keperluan sebab kami mahu wajah dan ‘rasa’ yang diterapkan dalam drama ini sampai kepada penonton.
“Apa yang penting, kami dapat berkarya sebagaimana yang diinginkan dan tentunya ia adalah antara usaha untuk memberi kepuasan kepada mereka yang menonton drama ini nanti,” katanya.










