Bebas darah tinggi, kolesterol, Micheal Ang nikmati manfaat kesihatan bariatrik

Bebas darah tinggi, kolesterol, Micheal Ang nikmati manfaat kesihatan selepas pembedahan bariatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bebas masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol, pengarah, Michael Ang menyifatkan pembedahan bariatrik yang dilakukannya lima tahun lalu sebagai antara keputusan terbaik yang dibuat untuk kesihatannya.

Namun kata Michael, adakalanya dia menyesal kerana tidak lagi boleh makan secara normal iaitu dalam kuantiti yang banyak.

“Tekanan darah tinggi dah tak ada dan begitu juga dengan kolesterol yang kini sudah terkawal.

“Kalau dari sudut kesihatan, ya, mungkin ini keputusan yang baik. Tetapi secara peribadi, adakalanya saya agak menyesal kerana tak boleh lagi makan secara normal dan banyak makanan yang perlu saya elakkan.

“Saya seorang yang biasa makan banyak. Sekarang saya terpaksa makan sedikit demi sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, Michael juga memaklumkan bahawa dia telah hilang berat badan sebanyak 54 kilogram (kg) selepas melakukan pembedahan tersebut pada 2018.

“Sebelum pembedahan berat saya mencecah sehingga 134 kg. Namun selepas kini berat saya kekal 80 kg.

“Berat badan saya turun hanya dalam beberapa bulan selepas pembedahan itu dilakukan. Sekarang ia terus kekal pada bacaan yang sama.

“Kalau naik pun hanya dalam satu atau dua kg sahaja. Sebenarnya nak kurus kena kawal pemakanan. Tetapi itulah yang paling sukar untuk dilakukan,” katanya lagi.

“Jangan lakukan semata-mata untuk cantik. Kerana anda akan lalui satu tempoh yang sukar kerana terpaksa kawal pemakanan dan amalkan banyak pantang larang.

“Kalau demi kesihatan, ya, saya sarankan. Kalau sekadar berat mencecah 80 kilogram jangan mengada-ngada nak buat. Pergilah gimnasium.

“Apa-apa pun ikut nasihat doktor. Saya ikut nasihat doktor sebelum ambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik. Saya sebelum itu tidak pernah mahu untuk melakukannya, sehinggalah kesihatan saya berada pada tahap kritikal, baru saya bersetuju,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN