fbpx

Watak cacat pun penonton nak pelakon yang elok lakonkan – Michael Ang

Pengarah sensasi tanah air, Michael Ang berpendapat, penonton adalah faktor utama pelakon yang mempunyai wajah yang elok menghiasi layar skrin.

Kata Michael, peluang bagi pelakon yang dikatakan ‘tiada rupa’ agak sukar mendapat watak utama kerana stesen TV lebih mengutamakan kemahuan penonton.

“Penonton memang mahu lihat pelakon yang elok sahaja. Itu realitinya, tetapi bukan kata mereka yang tidak elok, tidak boleh menjadi pelakon langsung.

“Namun, peluang untuk mereka membawa watak utama, hero atau heroin itu agak sukar. Bagaimanapun, ada juga karya yang mereka ini boleh pertimbangkan untuk memegang watak utama.

“Melainkan jika ada banyak karya yang mempertengah watak orang yang sudah berumur, tidak cantik atau sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan watak kurang upaya sekalipun dilakonkan pelakon yang mempunyai wajah yang elok kerana permintaan penonton juga.

“Realitinya juga watak cacat sekalipun penonton tetap nak melihat pelakon yang elok untuk melakonkan karakter tersebut kerana ia watak utama.

“Kita sebagai pengarah atau penerbit nak menjadikan ia sebagai realiti, tetapi kita tahu penonton yang tidak boleh terima.

“Kalau hero tidak kacak atau sebaliknya, mereka tidak akan menonton. Walaupun bakat yang ada besar,” ujarnya.

Pengarah naskhah popular Setelah Terlafaznya Akad ini bagaimanapun akui mempunyai hasrat untuk mengambil pelakon yang berbakat besar dan berkaliber berbanding mengukur ketampanan wajah.

Namun, sekali lagi dia akur akan kehendak sesebuah stesen televisyen yang mengutamakan permintaan penonton.

“Nak kata industri kita ini lebih pentingkan rupa berbanding bakat, ia tidak benar. Siapa tak nak yang ada bakat?

“Perkara ini sebenarnya tidak boleh salahkan sesiapa waima stesen TV. Ia kerana permintaan penonton.

“Bagi penerbit pula, mahu juga ambil pelakon yang bagus dan berkaliber. Tetapi kalau stesen sudah reject, tidak boleh buat apa juga. Selagi selera penonton kita tidak tukar, memang susah,” tuturnya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN