‘Saya ada segalanya ketika itu, tetapi jiwa saya kosong…’ - Utusan Malaysia

‘Saya ada segalanya ketika itu, tetapi jiwa saya kosong…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Che Puan Juliana Evans. Satu nama yang pada firasat saya punya kedudukan tersendiri dalam industri. Mungkin dia bukan pelakon, pengacara atau model yang paling popular, tetapi namanya sentiasa ada dalam lapangan seni.

Saya layangkan terus soalan pertama. Sukarkah menggalas statusnya seorang Che Puan? Adakah dia terpaksa memakai topeng sehingga menguburkan diri sendiri?

Dia membetulkan kedudukan. Mencari keselesaan. Tidak, jawabnya ringkas. Yang sukar adalah memenuhi tanggapan dan kemahuan orang luar untuk melihat dia sebagai seorang royalti.

“Saya tetap saya. Tidak berubah hatta dipakaikan gelaran apa pun. Tetapi orang melihat saya sebagai seorang royalti, yang dalam fikiran mereka seperti dalam filem Princess Diaries.

“Tidak, saya bukan begitu. Saya menjalani kehidupan apa adanya. Siapa cakap bila berstatus, kena goyang kaki? Siapa beri peraturan, bila jadi che puan seseorang perlu berhenti berlakon?

“Saya seorang wanita berdikari. Saya suka bekerja. Ya, saya seorang isteri dan ibu tetapi tidak bermaksud saya harus tanam dalam peribadi dan minat itu. Tidak sama sekali,” katanya.

Lantas saya hulurkan soalan untuk dia sambut. Apa perubahan terbesar dalam hidupnya selepas memegang gelaran itu? Putaran itu seperti matahari mengelilingi bumi?

“Saya adalah seorang gadis biasa yang berkahwin dengan cinta hati dan dikurniakan anak. Saya dikelilingi suami, anak dan keluarga sendiri serta mertua yang sangat rapat antara satu sama lain.

“Tidak kira siapa pun kita, paling penting hati. Berubah apa pun status atau pangkat, yang penting sentiasa berjiwa hamba.

“Sentiasa baik hati dengan sesiapa pun, tidak kira siapa dia siapa anda,” kata isteri kepada Tengku Shariffudin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj ini.

 

Tak pernah hilang, tak akan berhenti

“Hilang? Mana ada. Tiada maknanya comeback pun. Saya tak pernah hilang dalam industri. Cuma selepas kahwin pastilah kehidupan itu harus diatur semula. Apatah lagi dengan kehadiran puteri tercinta, Mily.”

Tenang dia menjawab pertanyaan saya adakah tahun ini peminat bakal melihat kemunculan semula dia secara aktif.

Ya, beberapa tahun boleh dikira dengan jari berapa drama atau filem yang dilakonkan wanita di tangga usia 33 tahun ini. Adakah dia sudah mula memperlahankan rentak seninya?

“Tidaklah, tawaran yang datang sangat banyak. Saya sendiri terkejut. Tetapi jujurnya, watak sangat limited. Saya tidak mahu bawa watak wanita-wanita teraniaya, yang mengharapkan lelaki sahaja.

“Saya perlu memilih. Saya mahukan perbezaan. Suami tidak pernah menghalang cinta saya terhadap dunia seni, Tetapi saya ada tujuan dan kemahuan. Tak mahu terkejar-kejar, tenang sahaja.

“Semestinya gelaran isteri dan ibu itu memberi impak yang besar terutama kepada prinsip seni saya. Namun tidak bermaksud saya harus menolak terus atau berhenti. Tidak sama sekali,” kongsi pelakon Bella & Jamie ini.

 

Berhati-hati, itu semestinya

Membuka dalam helaian muka surat hitam dalam hidupnya, Juliana pernah merasakan dirinya seperti kertas kosong walaupun dipenuhi lakaran, contengan berwarna warni.

“Dulu saya seorang yang berjiwa muda, penuh amarah. Saya terlalu menolak diri sendiri. Saya ada segalanya. Duit, populariti tetapi jiwa saya kosong. Saya mahu lari jauh daripada semua orang.

“Saya tak gembira pun. Tetapi sekarang, saya syukuri setiap satu perkara dalam hidup. Kesihatan mental itu lebih penting dari segalanya. Luangkan masa seba­iknya dengan keluarga. Saya dulu tak ada masa untuk diri sendiri pun.

“Cuma satu nasihat saya, jika ada peluang dan rezeki terbanglah ke negara orang. Saya juga seperti anda, marah dan menolak sistem yang kita rasa rosak. Tetapi pergilah ke luar, baru tahu yang batu itu lebih indah,” katanya yang cukup meminati muzik.

Kini kedewasaan mula memeluk pelakon KAMI ini dengan erat. Dia lebih berhati dalam melontar pandangan apatah lagi berkongsi perihal peribadi kepada umum.

“Sudah lama sebenarnya saya mula berhati-hati dalam berkongsi sesuatu. Mungkin pengalaman sekeliling banyak mengajar. Saya juga seorang anak, isteri dan ibu. Jadi perlu lebih careful,” ujarnya.

Pelakon filem Pulang ini mencatat sejarah peribadi apabila namanya tersenarai sebagai antara individu paling berjaya di Malaysia bagi tahun 2021 dalam ensiklopedia biografi terbitan Britishpedia tahun lalu.

 

Wanita tidak lemah

Berdiri sebagai seorang wanita dalam industri, sudah semestinya tempias diskriminasi, watak yang terhad dan naskhah yang lemah berputar dalam diari seninya.

Namun sedar atau tidak, itulah realiti naskhah tempatan. Malah, Juliana sendiri mengangguk setuju. Wanita kena lemah, didera dan hina. Itu sahaja permainan emosi yang boleh diberikan.

“Saya tidak selari dengan watak, karakter dan jalan cerita sebegitu. Kita perlu ajar penonton. Realitinya di dunia luar sana, wanita sudah mampu berdiri sendiri. Kita boleh lawan balik.

‘Kita tidak banyak watak (wanita) yang kuat. Yang mampu menjadi idola dan buah mulut orang. Yang boleh memberi inspirasi dan kekuatan. Jangan rendahkan martabat wanita.

“Sudah tiba masa industri kita berubah. Naskhah yang berkualiti dan tidak merendah-rendahkan mana-mana jantina, kebolehan dan harga diri seseorang,” ujar pelakon
Juliana sebelum ini pernah menyuarakan isu berhubung produksi tempatan yang memerah keringat petugas sehingga terpaksa bekerja 20 jam tanpa henti namun itu dianggap normal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN