BUKAN senang untuk meyakinkan golongan wanita zaman moden mengenai persepsi bahawa memiliki anak ramai dalam usaha membina sebuah keluarga sendiri itu bagus.
Maklum sahajalah, kebanyakan wanita zaman sekarang ramai yang berkerjaya dan memiliki gaya hidup yang berbeza berbanding wanita di era nenek moyang.
Maka, untuk membina rumah tangga dengan sebuah persepsi keluarga besar, barangkali itu adalah sesuatu yang tidak mungkin akan membuatkan wanita itu berkata iya apalagi jika sedar, susur galur kewangan yang tidak stabil membuahkan lagi kata No itu.
Pun begitu, berbeza pula dengan pelakon dan selebriti media sosial, Ayu Raudhah, yang melihat hasrat memiliki anak ramai itu bukanlah sesuatu yang membebankan.
Meski menjalani kehidupan yang sibuk sebagai seorang selebriti dan usahawan, Ayu menganggap setiap anak yang dikurniakan Allah SWT adalah pembawa rezeki buat keluarga kecilnya.
“Cakap pasal anak ini, sebenarnya kami ini tak rancang pun nak anak berapa orang sejak dari awal kahwin. Tapi, bagi mereka yang mengenali, saya dan suami sudah terbiasa dengan keluarga besar.
Adik beradik saya tujuh orang, sama macam Zaquan Adha, tujuh orang juga.
“Pernah ada yang mengusik, sebab saya kahwin dengan pemain bola sepak, jadi memang rancang nak anak ramai bak sepasukan bolakah? Saya kata itu Allah SWT punya kuasa.
“Kami terima saja kalau betul Dia nak kurniakan seramai itu. Saya pernah gugur dua kali sebelum ini, kalau tidak, anak dah ada enam. Tapi, sajalah nak kongsi, Zaquan memang suka nombor 8,” kata ibu beranak lima ini berseloroh.
Bagaimanapun, dalam keghairahan mana-mana bakal ibu sekiranya merancang untuk memiliki anak ramai, Ayu begitu menekankan tanggungjawab dan kebersamaan suami isteri dalam memainkan peranan ibu dan ayah.
“Saya faham, mungkin sesetengah orang tak mahu anak ramai sebab isterinya saja yang kena jaga dan uruskan semua anak. Itu yang menyebabkan si isteri rasa serik nak beranak. Namun saya rasa bertuah sebab Zaquan sama-sama jaga kelima-lima anak kami.
“Setengah isteri, semua benda mereka yang uruskan dan suami pula tak ambil tahu. Tak boleh begitu. Kita kena sama-sama hadapi bersama dalam bab anak-anak ini. Zaquan, dia tak kisah jaga anak dan dia memang mahu anak.
“Bagi dia, walaupun anak ramai, dia nak kami semua rapat sebagai sebuah keluarga. Nanti di hari tua, bila anak-anak balik jenguk kami, rumah jadi meriah. Itu yang seronok,” katanya.
Mengaku menguruskan anak-anak secara sendiri sejak daripada anak pertama,kata Ayu, meski memiliki pembantu, dia lebih suka mengendalikan mereka agar anak-anak lebih mesra.
Bagaimanapun, kata Ayu, meski wajahnya mungkin terserlah keayuan dan kelembutan ketegasan baginya perlu ada diterapkan pada anak-anak dalam usaha mendidik mereka.
“Saya ini pun, adakala terpaksa guna suara falseto, suara nyaring juga. Bukan untuk beri anak-anak takut dengan saya, tapi mendidik. Saya boleh katakan, anak-anak kalau dengan saya, mereka lebih mendengar kata berbanding dengan Zaquan.
“Agaknya sebab mummy mereka cengil. Tetapi dalam cengil pun, anak-anak tetap nak saya. Kalau dengan Zaquan, mereka lebih manja,” katanya.
Mengajaknya berbual mengenai kerjaya lakonannya yang dilihat seakan terhenti, Ayu bagaimanpun lekas-lekas menjawab bahawa dia tidak pernah meletakkan tiitk noktah pada dunia lakonan.
Baginya, kerjaya lakonan sentiasa ada tesemat di sanubarinya namun dek sering sahaja mengandung dan bersalin, ia menyebabkan Ayu terpaksa meletakkan kerjaya itu di tepi buat sementara waktu.
“Mungkin ini bukan masanya lagi. Tipulah kalau kata tak rindu berlakon. Tapi saya terpaksa tangguh dulu. Kalau untuk kerja-kerja iklan atau kerjasama, insya-Allah saya ambil. Bukan apa, saya tak nak ambil tawaran yang perlu tinggalkan anak dan suami lama-lama.
“Kali terakhir berlakon adalah pada tahun 2017 dan seiring waktu, ada saja tawaran yang datang. Cuma saya terpaksa tolak dengan cara baik. Saya tahu, bila berlakon, masa tak sekejap. Kalau anak sakit, kita tak boleh sesuka hati nak minta pelepasan.
“Katalah kita boleh beri tempoh waktu untuk berlakon ikut waktu kita, ia akan menyusahkan orang pula. Saya tak mahu begitu,” katanya.
Selain itu, kata Ayu, dia juga menolak andai ada yang menganggap dirinya enggan lagi berlakon kerana dilarang suami.
“Tak pernah pun Zaquan melarang, dia okey sahaja jika saya kata nak. Tapi saya yang banyak memikirkan soal rumah tangga dan anak-anak. Saya tak nak terlepas pandang anak-anak membesar di depan mata.
“Tengoklah, mungkin selepas ini saya akan pertimbangkan jika ada tawaran yang bersesuaian. Kalau jalan cerita menarik, masanya juga okey, saya sudi sahaja,” katanya.
Jual baju kurung
Berkongsi mengenai bidang keusahawanan yang diceburinya kini, Ayu yang sebelum ini pernah mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung, kini beralih pada perniagaan baju kurung pula.
Siapa sangka, Ayu sejak hujung tahun lalu telah disunting sebagai duta pakaian wanita mampu milik di bawah jenama byLR.
“Ada kalanya apabila tumpuan berniaga lebih cenderung, suami mula merungut manja sebab masa dengannya tak banyak. Macam idea buka kafe pun bertitik tolak sebab suami nak makan air tangan saya.
“Tapi lama-kelamaan suami faham. Apa kami lakukan dengan mencari rezeki ini untuk kebaikan bersama termasuk masa depan anak,” katanya.
Pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 di Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) ini juga percaya pengalaman berniaga mampu menjadi harta yang bernilai.
“Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
“Lalu ketika pihak byLR mempelawa untuk menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama itu, saya cabar diri. Komitmen saya bukan setakat duta, tapi juga ke depan dalam meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama itu.
“Saya fikir ini juga masa dan peluang terbaik untuk melangkah ke fasa lain sebagai usahawan. Sekarang saya usahakan koleksi sedondon raya si ibu dan anak perempuan dengan sebanyak 10,000 helai pakaian dihasilkan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal,” katanya.
Kongsi pelakon ini, dia dan jenama itu bertekad untuk mengeluarkan pakaian wanita contohnya seperti baju kurung kain kapas premium dan corak ala songket yang dijual dengan harga berpatutan.
“Niat kami mahu semua golongan wanita boleh bergaya cantik tanpa mengeluarkan bajet yang mahal. Rangkaian harga pakaian bermula serendah RM69 untuk usia 18 ke 50 tahun.
“10,000 helai pakaian itu disasar boleh habis terjual dalam tempoh kurang sebulan. Kami mensasarkan RM1 Juta jualan dalam sebulan. Tahun ini secara keseluruhan kami sasar RM12 juta boleh disasar. Insya-Allah,” kata Ayu.











