Insomniacks, sepotong nama band yang unik terdiri daripada empat anak muda yang berbakat besar dalam industri muzi tanah air.
Tujuh tahun menempa nama di persada seni tempatan, mereka sentiasa dalam proses belajar untuk menjadi sebuah kumpulan yang punyai keistimewaan sendiri dan menampilkan lagu-lagu yang berkualiti.
Malah, tidak mempersia peluang yang ada, bakat-bakat muda ini sentiasa mencari ruang dan peluang yang ada untuk mencuba perkara baharu terutama dalam industri seni tempatan.
Pernah menggegarkan industri ini dengan lagu mereka berjudul Pulang sekitar empat tahun lalu, Insomniacks kini kembali dengan sebuah lagi karya baharu berjudul Sempurna.
“Kita sentiasa bersedia untuk all out, tetapi masih belajar. Sebagai manusia, kita sentiasa belajar. Kami akan sentiasa all out dalam industri muzik tanah air.
“Selain itu, kami semua on sahaja mencuba pelbagai perkara dalam industri ini. Kita juga ada merancang untuk fokus dengan lagu lain.
“Tidak mahulah duduk dengan lagu ini lama sangat. Tahun ini, kami merancang memang hendak mencuba mengeluarkan lagu sebanyak mungkin,” katanya.
Bukan itu sahaja, punyai falsafah tersendiri, empat anak muda ini masing-masing mempunyai pemikiran yang kreatif kerana gemar bereksperimentasi dalam menghasilkan sebuah lagu.
“Untuk lagu ini lebih menonjol, bagi kami tiadalah strategi pun cuma falsafah kita dari dahulu iaitu punya haja tuju untuk membuatkan lagu yang dicipta itu adalah terbaik supaya menyerlah.
“Jadi, apabila ramai orang suka, ia bonuslah. Kami juga suka mencuba pelbagai perkara. Kami suka bereksperimentasi perkara baharu.
“Kami suka dengan semua genre dan tiada masalah untuk menulis pelbagai genre lagu. Lagu-lagu balada kita menganggap seperti give away untuk pendengar kami,” ujarnya.
Hindari gimik murahan
Bertanya mengenai melakukan gimik murahan untuk nama cepat dikenali. Bagi mereka, biarlah popular dan dikenali atas sebab sebuah lagu hasil karya mereka, bukan kerana perkara tersebut.
Ada cara tersendiri, kumpulan ini sentiasa memikirkan apa rancangan berikutnya jikalau hasil karya mereka kurang mendapat perhatian umum.
“Kami memang suka untuk memberi pendengar kenal lagu itu dahulu. Kalau tidak meletup, kita cubalah buat plan lain pula. Tetapi, setakat ini kami biar sahaja.
“Apabila kami fokus perkara ini sahaja, kami lagi sukses dan kurang stres. Malah, bagi saya jika kita teruskan nikmati dengan apa yang kami lakukan.
“Peminat-peminat juga suka kita menjadi diri sendiri. Cepat naik cepat turun,” tuturnya ketika ditemu bual.
Meninjau perancangan pada masa akan datang, Insomniacks berhasrat untuk melakukan lebih banyak lagi jelajah di seluruh Malaysia.
“Dalam lima tahun akan datang, Insya-Allah kita nak membuat banyak jelajah seluruh Malaysia terutamanya.
Sentiasa berfikiran ke hadapan, anak-anak seni ini turut berharap dapat mencipta pelbagai lagu berlainan genre, pada masa akan datang.
“Harap semua dapat menerima dan menikmati dengan ‘come back’ kami dan sentiasa menyokong dengan projek seterusnya sebab kami ada banyak perancangan.
“Harap juga single seterusnya kami dapat eksperimen lagi dalam pelbagai genre. Jadi, mereka dapat menjangka bukan hanya genre balada yang kami akan bawa,” ujarnya.