'Jangan kata abang meninggal, dia masih belum ditemui' - Adik

‘Jangan kata abang meninggal, dia masih belum ditemui’ – Adik

KELUARGA Ija Nizaruddin memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangannya di kawasan sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: “Jangan kata abang saya sudah meninggal dunia, dia masih belum ditemui.”

Demikian permintaan adik pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin yang masih hilang dan hanya kereta miliknya ditemukan di dalam sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, dekat sini hingga kini.

Hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 30, kehilangan abangnya menjadi tanda tanya sejak Isnin apabila dikatakan mahu ke bengkel kereta milik rakannya di daerah ini pada hari kehilangannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Abang ada memberitahu isterinya untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa, Muar pada hari Isnin tetapi dia gagal dihubungi sehingga ke hari ini. Kami sekeluarga memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan Ija dan dia belum lagi meninggal dunia seperti yang dinyatakan warga maya semalam.

“Biarlah pihak berkuasa membuat pencarian dan penyiasatan secara telus dan saya memohon orang ramai doakan yang terbaik buat abang saya sehingga dia ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ini mereka sekeluarga hanya mampu berdoa dan berharap ada berita baik yang bakal diperoleh hasil pencarian yang disambung semula hari ini oleh pihak berkuasa.

“Mohon semua untuk menjaga sensitiviti keluarga terutama sekali isteri Ija dan anaknya yang sedang bersedih dengan kehilangannya.

“Kami semua bimbang akan keselamatannya dan sokongan daripada keluarga terdekat serta rakan-rakan amatlah diperlukan ketika ini. Kami sekeluarga juga merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus sejak semalam menaikkan keretanya dan mencari abang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini