KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 57, menegaskan cara dia diceraikan dengan talak satu melalui aplikasi WhatsApp bukan isu yang perlu diperbesarkan.
Jelasnya, mungkin itu adalah jalan terbaik untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
“Tak ada isu cara saya diceraikan. Mungkin lebih baik begitu untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih keruh.
“Saya tak ada apa-apa nak tambah lagi. Itulah ceritanya, kami dah bercerai. Semoga dielakkan dari sebarang fitnah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Disoal tentang reaksi anak-anak tentang penceraiannya, Aishah memberitahu mereka menerima dengan baik berkenaan isu tersebut.
“Anak-anak okay. Mereka sentiasa bersama saya,” jawabnya ringkas.
Aishah menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas mengesahkan beliau telah diceraikan talak satu pada 25 Disember tahun lalu.
Sekitar November lalu, penyanyi lagi Camar Yang Pulang Ini mendedahkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan bekas suami selepas lima tahun bersama.
Beliau bagaimanapun memutuskan untuk tidak berkongsi tentang punca pergolakan rumah tangganya kepada umum.