Selalu Poklip cerita tentang artis yang memilih wartawan, tetapi kali ini ada yang mengadu tentang pegawai perhubungan awam (PR) yang suka buat perangai sama.
Kisahnya, ada rakan media menyampaikan dakwaan seorang PR ini suka memilih wartawan untuk hadir ke majlis anjurannya. Dia macam hanya memilih wartawan sebulu.
Poklip faham, memang ada segelintir PR berperangai begitu. Konon lebih selesa kalau ada wartawan berstatus sahabat datang ke majlis mereka, tetapi ada pro and kontranya.
Cuba kalau wartawan itu sudah berhenti kerja, bukankah itu satu masalah kepada PR itu? Wartawan lain tak kenal awak pun.
Tetapi bagi Poklip itu bukan satu masalah pun. Tak mahu jemput, tak apa. Kita buat bodoh sahaja. Poklip cakap benda sama kepada si polan tadi.
Buat apa kita nak terhegeh-hegeh? Zaman sekarang, kita telefon sahaja atau tunggu pengumuman di media sosial. Lebih-lebih lagi, artis sekarang semua benda di-Instagramkan.
Kita fikir begini sahaja, kalau kita memudahkan kerja seseorang, nescaya Tuhan juga akan memudahkan tugas kita. Tidakkah itu satu realiti?
Lagipun pesan Poklip, selalunya yang berperangai begitu akhirnya akan meminta tolong kita juga. Biarkan sahaja okay?