KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Sakinah kesal dengan tindakan dangkal warganet yang membuat fitnah, mendakwa dirinya keluar Islam selepas berkahwin kali kedua baru-baru ini.
Tuduhan tersebut diterima pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu menerusi satu hantaran mesej dari individu tidak dikenali di Instagram (IG) yang antara lain mengucapkan tahniah kepadanya kerana memeluk Kristian.
“Tahniah Kinah masuk Kristian,” tulis individu terbabit.
Berang dengan dakwaan tersebut, pelakon berusia 33 tahun itu bertindak memuat naik kad perakuan memeluk Islam milik suami, Mikael Hansen bagi membuktikan dia tidak keluar agama seperti didakwa.
“Kami tak post bukti sebab tak nak mengharu birukan keluarga mentua ya.
“Cuba anak awak tiba-tiba kena convert Hindu, mahu mak awak melenting tak? Nak sangat bukti, swipelah. Terima kasihlah sebab mengharu birukan keadaan.
“Kalau sudah cakap, sudahlah, tak payah buruk sangka. Habis, semua nak kena tunjuk bukti? Tak tunjuk nak jaga hati keluar sana,” tulisnya.
Pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu baru-baru memaklumkan telah mengahwini jejaka Sweden tersebut.
Dia bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh pernikahan mereka atas soal peribadi dan hal agama.