Fazley menyempurna impian, mencipta memori indah - Utusan Malaysia

Fazley menyempurna impian, mencipta memori indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ini satu kerja gila. Boleh ke? 22 lagu tau.”

Saya cuba mencuri dengar perbualan salah seorang peminat yang hadir menyaksikan Mini Konsert Yang Sedang Sedang Sahaja Datuk Fazley Yaakob. Ya, 22 lagu bakal dinyanyikan.

Saya faham kegusaran yang terbit dari fikiran si polan itu. Mungkin dia merasakan cef selebriti itu akan mempunyai kesukaran besar untuk menyanyikan lagu sebanyak itu.

Tetapi tanggapan itu silap sama sekali. Hadir sebagai salah seorang saksi hidup menyaksikan sendiri mini konsert Fazley, saya merasa bangga kerana dia membuktikan kemampuannya.

Maaf, saya tidak cakap dari sudut vokal. Saya cuba untuk tidak membanding-banding Fazley dengan penyanyi lelaki lain terutama dari sudut vokal. Fazley adalah Fazley, bukan orang lain.

Saya fikir, di usia 23 tahun dalam industri, identiti bukan lagi satu isu. Malah dia masih kekal relevan walaupun sudah hampir satu dekad tidak aktif dalam dunia seni nyanyian.

Cuma yang menjadi persoalan ramai ketika di pentas Gegar Vaganza (GV) musim kelapan, boleh ke dia menyanyi? Saya jawab dulu. Dia boleh menyanyi. Lima album dengan barisan lagu malar segar, itu sudah cukup membuktikan.

Malah sebelum Fazley memulakan persembahan, dia secara berseloroh bertanyakan soalan kepada dirinya sendiri; “22 lagu? Ini satu kerja gila Fazley oi!”

Membuka tirai konsert mini pertamanya dengan lagu popularnya, Bila April, Fazley mengajak peminat melayari lautan kenangan manisnya bersama isteri tercinta, Datin Azrene Ahmad. Tersenyum-senyum mereka yang hadir. Seperti semua sedang jatuh cinta.

Kongsinya, dia dan isteri bertemu di bulan April di Kota London. Ketika itu dia sedang sibuk menguruskan konsert penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Di situ, cinta berputik dan kekal hampir 20 tahun lamanya.

Istimewanya Fazley, dia boleh menyanyikan lagu-lagu berbahasa Sepanyol dengan baik. Maka tidak hairan jika dia memilih beberapa lagu berbahasa Sepanyol sekali gus merancakkan malam penuh cinta itu.

Beautiful Maria, Dimelo, Corazoncito Bonito dan Corazon Espinado adalah lagu-lagu popular berbahasa Sepanyol yang dinyanyikan bapa kepada empat orang anak itu. Dia begitu selesa dan penuh keyakinan menyanyikan lagu-lagu itu.

Menariknya, ada tetamu yang bangkit dan menari mengikut irama lagu. Itu merancakkan persembahan dan menambah warna dalam mini konsert yang sudah disusun semasa Fazley masih bertanding dalam GV lagi.

Dan tahukah anda, penonton yang hadir juga dihidangkan dengan seleksi sajian yang sedap-sedap belaka. Mestilah, ini kan mini konsert The Singing Masterchef.

“Seribu Tahun”

Bila saya melihat senarai lagu yang bakal dipersembahkan Fazley, jujurnya saya cukup teruja apabila lagu Luluh nyanyian asal Khai Bahar tersenarai. Fazley tersingkir dari pentas GV sebelum minggu peserta diminta menyanyikan lagu-lagu terkini.

Jadi, saya fikir Luluh adalah lagu balas dendam Fazley. Sejujurnya, dia menyanyikan lagu itu dengan baik. Jika begitulah persembahannya, dia pasti akan ke peringkat seterusnya. Sekali lagi, jangan bandingkan dia dengan sesiapa. Pendapat saya.

Fazley juga memilih untuk menyanyikan semula lagu-lagu yang pernah dipersembahkan ketika di pentas GV. Laguku Untukmu (Hasnol), Mahligai Syahdu (Hattan) dan pastinya, lagu ‘kejutannya’, Yang Sedang-Sedang Sahaja (Iwan Syahman) dinyanyikan dengan baik sekali.

Mungkin ini bukan pentas GV, tiada siapa yang mengkritik. Tiada siapa yang tersingkir. Maka, Fazley bebas untuk menyanyikan lagu dengan cara tersendiri. Tanpa ada kegusaran atau kecaman daripada sesiapa.

Bagi saya, konsert ini juga adalah untuk menyempurnakan impian Fazley untuk membawa puterinya, Alayna Selma bersama di atas pentas. Mata saya terkunci, saat puteri yang manja itu perlahan-lahan dengan malu naik ke atas pentas.

Ketika itu, dalam fikiran saya, you did it Abang Fazley! Satu impiannya tercapai dan melihat mereka satu keluarga tersenyum manis di atas pentas, itu bukti satu memori indah sudah tercipta. Bak kata orang putih, achievement unlocked!

Tetapi satu persembahan ini akan kekal dalam ingatan. Dia menyanyikan lagu Seribu Tahun nyanyian asal Imran Ajmain. Mungkin pada fikiran orang luar, ala biasalah dia nyanyi lagu orang lain.

Tetapi itu lagu Imran Ajmain. Sahabat yang rapatnya seperti keluarga sendiri. Imran juga ada di situ, malam itu. Di relung matanya, saya nampak sinar bangga dan terharu. Fazley menyanyikan lagu itu dengan cukup baik.

Pastinya trio lagu popularnya, Asmara Ini, Cerita Asmara dan Kerna Asmara menjadi antara lagu penutup tirai konsertnya. Riuh bersorak Suka Sucre Bistro apabila dia menyanyikan lagu itu.

Ini adalah satu permulaan. Selepas ini akan ada banyak lagi mini konsertnya dengan kerjasama Starbucks.

Saya bangga mendengar pengumuman itu. Di sebalik kecaman dan kritikan, dia bangkit.

Walaupun dia hanyalah seorang penyanyi rakaman, bukan penyanyi power vocal, penyanyi yang sedang-sedang sahaja tetapi semangat dan cintanya terhadap dunia seni, luar biasa!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya