Dari kecil sudah hidup susah... - Sabri Yunus - Utusan Malaysia

Dari kecil sudah hidup susah… – Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terlalu banyak jasa figura ini kepada industri. Setelah lebih tiga dekad menabur bakti, nama Mohd Sabri Yunus masih utuh terukir di kanvas seni.

Sabri Yunus membuktikan, bakat dan kebolehan anugerah Tuhan itulah yang membuat dirinya kekal bertahan.

Datangkanlah beratus anak wayang sekali pun, tidak akan dapat menyerupai pelakon bertaraf legenda ini. Tentunya, Sabri Yunus itu tersendiri.

Kali ini saya kongsikan cerita tentang anak kelahiran Pangkalan Chepa, Kelantan ini. Bagi saya, pengalaman dan cerita kehidupannya cukup mahal.

Sabri ketika dihubungi, menceritakan. Penghijrahan ke ibu kota sekitar tahun 1982 adalah selepas ditawarkan menjadi pelukis untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Berbekal wang RM175. Itulah sahajalah wang yang saya ada ketika itu. Yang cukup-cukup untuk saya gunakan sehingga cukup bulan,” katanya.

Bercerita lanjut, Sabri berkata dia tidak dibesarkan dalam keluarga senang.

Oleh kerana itu, katanya dia tidak pernah merasa dirinya susah kerana sudah terbiasa dengan kehidupan serba kekurangan sejak kecil lagi.

“Saya ini orangnya sentiasa enjoy dalam hidup. Saya tak tahu hidup susah itu macam mana. Sebab sejak kecil lagi memang keluarga kami sudah susah.

“Jadi ketika bekerja dengan DBP, saya hanya dibayar RM275. Memang tidak mencukupi untuk menyara kehidupan. Adakalanya terpaksa pinjam meminjam,” ceritanya lagi.

Bakat seni lakon sebenarnya sudah tertanam di dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.

Ketika menuntut di tingkatan enam, Sabri sudah menunjukkan minat ke arah bidang seni apabila menggalas tugas pengarahan bagi teater Mayat Dari Dewan Sastera yang dipentaskan sempena sambutan ulang tahun sekolahnya.

Kini, Sabri Yunus menjadi nama yang cukup disegani. Beliau berdiri sebagai seorang pelawak, pelakon, pengarah dan pengacara, penulis skrip yang pernah terlibat dengan lebih daripada 20 filem, 12 telefilem, 14 drama dan banyak lagi.

Tapi, ayah tiga orang anak ini tetap merendah diri. Mengikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.

Kata Sabri, ilmu adalah segalanya. Dia tidak pernah berhenti menimba. Itulah tanggungjawab pelakon yang ramai tidak orang ketahui.

“Pembelajaran tidak akan habis. Apa bidang sekalipun. Dalam lakonan, asasnya sama. Yang membezakan pencarian, penelitian kita terhadap satu-satu watak itu berlainan.

“Kalau pelakon lama tidak terus mencari. Dia akan tersekat, berada pada tahap yang sama.

“Saya tak boleh jangka sampai bila saya akan menjadi anak seni. Buat masa ini, saya masih bersemangat. Ada banyak benda lagi yang saya nak buat. Makin berusia, makin banyak saya nak kongsi,” tegasnya.

Tuah Pok Ya Cong Codei

Tidak dinafikan, terlalu besar sambutan yang diberikan terhadap telefilem Pok Ya Cong Codei dan Pok Ya Cong Codei Siti Di Hati yang ditayangkan pada tahun 2018.

Impaknya mencetuskan fenomena, menjentik anjakan kepada kerjaya anak seni ini yang juga pelakon serta pengarah telefilem tersebut.

Kata Sabri, dia melihat dengan jelas. Sambutan penonton bukan calang-calang. Katanya, lebih-lebih lagi dalam kalangan orang muda, yang amat meminati telefilem tersebut.

“Ada penonton, ketika berjumpa saya di luar, tetap memanggil saya sebagai Pok Ya.

“Saya menganggap itu perkara biasa. Penonton ini, kalau jumpa kita di luar mereka panggil kita dengan nama watak yang kita bawakan. Barangkali kebetulan.

“Tetapi, mereka yang mengenali saya secara peribadi, panggil saya Sabri Yunus sahaja. Kalau diikutkan, saya lebih suka orang kenal saya begitu,” katanya.

Tahun ini, telefilem tersebut akan dipertontonkan sebagai drama bersiri. Memilih tajuk Pok Ya Cong Codei, Memburu Siti, drama bersiri 16 episod itu akan membawa jalan cerita yang baharu.

“Saya buat bukan hanya kerana sambutan penonton terhadap telefilem terdahulu. Tetapi, saya nak kembangkan lagi penceritaannya dengan membawakan isu yang lain.

“Kita tengok watak Pok Ya itu lebih menonjol sebelum ini. Tetapi, dalam drama bersiri itu nanti, saya nak ceritakan kegagalan dan kekecewaan orang tua itu. Dia tidak lagi seperti dahulu, muda dan gagah.

Cerita Sabri lagi, drama itu juga bakal menampilkan bintang-bintang handalan termasuk beberapa pelakon yang pernah terlibat dengan telefilem tersebut sebelum ini.

“Kali ini saya akan bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Eman Manan, Farid Kamil, Angelina Tan dan ramai lagi.

“Saya nak buat Pok Ya yang baru, tentang apa yang saya nak ceritakan. Ada persoalkan, kenapa jalan ceritanya begini dan begini. Tapi saya katakan, saya berkarya berdasarkan apa yang saya ingin sampaikan,” jelasnya.

Fikir soal anak-anak

2007 merupakan tahun menduga buat seorang Sabri Yunus. Kehilangan permaisuri hati, Norraya Mohd. Yussof yang pergi menemui Pencipta, menjadi titik hitam yang masih membekas.

Dia saat itu memendam kesedihan terlalu dalam. Impak kehilangan itu terlalu tajam dia rasakan. Membuatkan dirinya hilang seketika, merawat kelukaan.

“Saya terkesan. Jadi hilang punca. Banyak benda yang saya tinggalkan. Tidak lagi terima undangan lakonan mahupun membuat persembahan.

“Perlahan-lahan saya keluar industri. Menghilang seketika, membawa diri. Selang beberapa tahun, saya putuskan untuk kembali. Terus aktif membuat kerja-kerja pengarahan,” katanya.

Sehingga ke hari ini, Sabri belum temui pengganti. Mungkin itu ketentuan Yang Maha Esa, belum lagi menghadirkan seorang wanita bergelar isteri untuknya.

Saya bertanya, adakah dia selesa begini? Hidup tanpa seorang isteri di sisi. Dia berdiam seketika, sebelum memberi jawapan bagi pertanyaan saya.

“Bukan saya tidak mahu. Ketika itu, anak-anak sedang membesar. Fikiran saya lebih kepada soal anak-anak.

“Saya khuatir, kalau anak-anak tak bersetuju saya berkahwin lagi. Saya tak boleh bayangkan perasaan mereka. Takut anak memberontak. Salah pilih kawan. Tak balik rumah. Ya, mungkin ketika itu, saya fikir berlebih-lebihan.

“Jadi saya tunda hasrat itu. Sehingga sekarang. Masih belum berkahwin. Tetapi bukan saya menolak. Bagi saya hidup perlu praktikal. Tak perlu terus mengenang perkara lama,” ujarnya.

Kata Sabri, dia sedar ramai yang mempersoal. Kenapa dia tidak berkahwin lagi. Ada yang menganggap, dia tidak mahu pengganti dan lebih selesa hidup tak beristeri.

Tetapi dia menolak tanggapan itu. Katanya, biarlah apa orang nak kata. Dia selesa hidup sendiri bersama anak-anak di sisi. Yang penting, happy.

“Bagi saya tak ada masalah. Terus terang saya katakan, saya lebih fikirkan soal anak-anak.

“Anak-anak ada juga bertanya. Mungkin mereka fikir, kalau ayah tak kahwin, dia orang lah kena buat semua benda. Basuh baju, kemas rumah semua,” selorohnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN