PETALING JAYA: Penyanyi, Ziana Zain membidas kenyataan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida selepas ahli perniagaan kontroversi itu mendakwa adiknya yang juga penyanyi, Anuar Zain sebagai seorang lelaki yang menjalinkan hubungan sesama jenis.
Menerusi platform TikTok, seorang pengguna berkongsi satu video yang memaparkan selebriti sensasi tampil membuat dakwaan tersebut menerusi sesi soal jawab bersama peminat di media sosial.
Dalam video tersebut, Vida menjawab pertanyaan seseorang yang meminta dia untuk memikat penyanyi lagu popular Sedetik Lebih itu.
“Datuk cuba lah mengorat Anuar Zain,” tulis seorang warganet.
“Gay…gay… faham tak?” dakwa Vida dengan nada berbisik.
Reaksi usahawan kontroversi tersebut menarik perhatian Ziana yang dilihat meninggalkan komen pada video berkenaan.
“Sangat biadap,” tulis penyanyi Anggapanmu itu bernada berang.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut meluahkan rasa kurang senang berhubung kenyataan Vida tersebut.
“Boleh sahaja buat laporan dan saman malu ini,” komen seorang warganet.
“Betul itu. Kalau tak nak mengurat, tidak perlu pun nak hina sampai macam itu,” komen lagi seorang pengguna.
Setakat ini, video itu menerima lebih 5,000 tanda suka dan 2,256 komen warganet yang rata-rata menghentam dakwaan Vida itu.










