Teguhkan identiti sebagai penyanyi - Syafiq Mughis - Utusan Malaysia

Teguhkan identiti sebagai penyanyi – Syafiq Mughis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat menyanyi telah lama wujud dalam diri Syafiq Mughis, didorong oleh ayahnya yang gemar meluangkan masa bersama keluarga dengan membuat aktiviti nyanyian seperti karaoke.

Syafiq memberitahu, sejak kecil lagi, dia sudah didedahkan dengan penyanyi-penyanyi dalam negara yang hebat seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan ramai lagi.

Dengan pendedahan dan pengaruh yang ada, Syafiq Mughis telah menanam keinginan untuk menempatkan diri dalam dunia seni suara ini.

“Lepas habis sekolah, saya mula rasa tidak seronok asyik nyanyikan lagu orang sahaja. Saya mahukan identiti, lagu dan alunan muzik sendiri serta hala tuju dalam industri seni ini.

“Saya mula menuntut ilmu berkaitan muzik dengan rakan-rakan yang sudah agak lama dalam industri dan bersama-sama mencipta lagu berjudul Jangan Pergi pada 2013.

“Bagaimanapun, hasilnya tidak seperti yang disangka. Lagu itu bukan saja tidak diterima orang lain, malah diri sendiri juga susah mahu terima. Ia tidak memenuhi cita rasa saya,” katanya kepada Pancaindera.

Syafiq Mughis akui, sejak itu semangatnya semakin pudar dan perasaan untuk menyerah semakin kuat. Dia akhirnya membuat keputusan mengundurkan diri untuk seketika dan mencari pekerjaan yang lebih stabil.

Namun, setelah mempunyai pekerjaan tetap, perasaan untuk mengubah semula lagu Jangan Pergi semakin membuak-buak.

Keyakinan dalam dirinya mula timbul dan dia bertekad untuk menyiapkan lagu itu sehingga ia dilancarkan.

“Saya mula baiki semula lirik lagu dengan bantuan rakan-rakan serta jurulatih vokal bagi memastikan penyusunan muzik itu sempurna untuk diterbitkan.

“Lagu Jangan Pergi akhirnya berjaya dilancarkan pada 12 November 2021. Melalui lagu itu, saya mula belajar tentang kelebihan dan kekurangan diri serta cabaran dalam membina identiti muzik.

“Komited dalam meneruskan langkah, saya terus mencipta single kedua berjudul Cinta Dari Tuhan yang baru sahaja dilancarkan pada 21 Januari lalu,” jelas anak kelahiran Perak itu.

Syafiq berkata, dia mendapat ilham untuk mencipta lagu terbaharunya itu melalui hadis-hadis dan kitab al-Quran.

Jelasnya, lagu tersebut mempunyai banyak maksud selain ketuhanan dan ia bersifat umum. Lagu ini boleh juga dikaitkan dengan cinta sesama manusia supaya boleh dinikmati oleh semua golongan.

“Bagi saya, seni yang bernilai tinggi adalah apabila ia boleh memberi impak positif atau nasihat-nasihat yang berguna kepada masyarakat. Itu adalah tujuan utama saya apabila mencipta lagu.

“Saya berharap, di masa depan segelintir syarikat rakaman akan mengambil berat tentang pemilihan artis supaya tiada pihak akan memandangkan rendah terhadap bakat yang ada dalam negara kita.

“Zaman sekarang ada yang memilih bakat berdasarkan rupa paras, pengikut dalam media sosial dan apa yang sedang tular tanpa mementingkan bakat atau ilmu dalam bidang ini.

“Sekiranya ia berterusan, industri ini akan rosak dan tidak akan memberi sebarang impak positif kepada masyarakat.

“Itu adalah antara sebab saya memakai topeng kerana mahu orang menilai bakat berbanding rupa. Saya akan membuka topeng muka ini dan tunjukkan wajah sebenar apabila orang ramai mula nilai bakat yang saya miliki,” katanya.

Cinta Dari Tuhan boleh didengari di semua platform digital dan laman YouTube Kame Music Production.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.