‘Serik? Tidak, tetapi saya kecewa’ - Izara Aishah - Utusan Malaysia

‘Serik? Tidak, tetapi saya kecewa’ – Izara Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Izara Aishah, satu nama yang cukup dekat dengan kita. Industri filem dan drama tidak asing lagi dengan figura ini. Dia memiliki karisma tersendiri dan aura yang cukup hebat.

Tidak memilih watak, malah karakter wanita kampung tanpa bersolek pun pelakon cantik manis ini sedia melunaskannya.

Namun, sudah hampir dua tahun juga para peminatnya tidak dapat melihat pelakon kesayangan mereka ini mewarnai layar kaca.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia telah membulatkan hatinya untuk memberi fokus kepada tawaran lakonan filem selepas ini berbanding nakshah di kaca televisyen.

Jelas Izara, hal berkenaan dimaklumkan selepas berasa kecewa dengan stesen televisyen yang didakwa terlalu banyak mainan politik.

“Selepas ini Izara akan fokus dengan filem berbanding drama di televisyen. Ia bukanlah serik, tetapi kecewa dengan televisyen.

“Hal ini kerana, televisyen banyak sangat politik. Contohnya dari segi pemilihan pelakon, bayaran dan cara mereka bekerja.

“Jujurnya, saya rasa tidak boleh. Namun, jika dengan filem saya tiada sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pada majlis protonton filem dokumentari Siti: Are You Ready?

Pelakon filem terkenal J Revolusi itu juga ada menambah alasannya selepas ini untuk lebih fokus diri menerusi industri filem tanah air.

“Ada yang bertanya, adakah saya sudah serik. Tidak, saya tidak serik. Cuma berasa sedikit kecewa.

“Terutamanya menerusi cara tawaran diberi, apa yang diminta, saya tidak bersetuju. Enough is enough,” tuturnya lagi.

Rezeki semakin luas

Sebelum ini, dilihat bintang ini ada memuat naik beberapa ciapan seperti dituju buat pihak tertentu dalam industri ini.

Selepas ditanya, pelakon itu turut mengaku yang kebanyakan ciapan yang dihantar menerusi entri Twitternya adalah dituju buat stesen televisyen.

Tutur figura berbakat besar itu, dia tidak kisah andai ciapan-ciapannya sebelum ini dan penjelasannya di atas boleh menjejaskan kariernya sebagai pelakon pada masa akan datang.

“Tidak mengapa, mereka kalau buat sesuatu yang tidak betul menjejaskan karier saya dan sebagainya.

“Jika dilihat kepada karier saya sekarang ini, Alhamdulillah Allah ada bersama saya.

“Rezeki saya semakin luas. Jadi, saya tidak peduli pun dengan semua itu. Jika memberi kesan kepada karier saya, terpulanglah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Izara turut berkongsi yang dirinya kini berasa sedikit janggal untuk kembali beraksi di karya tempatan sementelah sekian lama ‘berehat’ sejak dia melahirkan cahaya mata sulungnya.

Tambah pelakon itu lagi, jika selepas ini dia ada menerima tawaran berlakon, dia akan mengikuti kelas lakonan terlebih dahulu bagi meningkatkan kembali mutu lakonannya untuk membawa sebuah watak.

“Sudah dua tahun lebih tidak berlakon, saya rasa janggal dan perlu memasuki semula kelas lakonan.

“Buat masa ini, belum ada lagi untuk filem tetapi jika ada pun saya akan melihat dahulu jalan cerita. Macam biasa, filem tiada masalah dengan saya,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN