SENGAJA saya memilih pelakon ini sebagai wajah pertama yang menghiasi sampul hadapan Pancaindera. Bukan kerana cerita sensasi atau keseksiannya, namun bakat dan pencapaian dalam dunia seni.
Enam tahun pelayaran dalam lautan seni, kita tidak boleh menafikan Nadia Brian berada dalam liga tersendiri. Malah jika saya mengatakan, dia mampu sebaris dengan primadona tanah air kelak, itu tidak keterlaluan.
Secara kasar, kami sudah hampir sedekad berkenalan. Sejak dari zaman belajar. Ketika itu kami selalu terserempak di kafe lantas bertegur sapa. Siapa sangka, dia kini antara pelakon wanita yang menjadi pilihan produser.
Membuka gelanggang soalan dengan harapan 2022, bagi Nadia, untuk dia berada di tahap sekarang bukan semudah melintas jalan. Ada onak dan duri, ombak serta badai yang harus diredah.
“Adakala saya terduduk juga, bukan senang sebenarnya bergelar seorang anak seni. Orang nampak yang indah-indah sahaja. Tetapi yang melalui jalan itu sahaja tahu betapa sukarnya kita melangkah.
“Apatah lagi, dua tahun ini, diari seni saya diconteng dengan pelbagai warna. Ada yang manis dan ada juga yang pahit. Tetapi saya mahu menghapus dendam dan terus memegang rasa cinta serta niat dalam hati.
“Bunyinya klise kan? Tetapi saya masuk industri memang ikhlas kerana cinta akan seni. Sebab itu saya tidak akan mengalah, sesekali pun tak akan berhenti,” kata wanita besi berusia 30 tahun ini.
Meletakkan harapan untuk namanya terus mewangi di laman seni, Nadia bersyukur bakat lakonannya semakin mendapat perhatian dan stigma nakal tentang dirinya sedikit demi sedikit pudar.
“Ramai orang cakap, saya masuk industri sebab cantik, ada rupa. Mereka tak tahu, saya bermula daripada langkah kecil sahaja. Berlakon filem pendek yang tiada bayaran pun. Tapi sebab minat, saya terima.
“Rupa paras ini hanya pinjaman. Saya sendiri buang jauh-jauh tentang rupa ke apa. Hendak jadi pelakon, tak boleh fikir kena cantik sentiasa. Adakala kita akan nampak buruk dalam layar, saya tiada masalah.
“Untuk dapat watak besar dan peminat sendiri pun bukan setahun dua ya. Tetapi saya bersyukur, sekarang peminat tidak nampak bahagian kontroversi itu. Mereka sokong kerana bakat, “ katanya.
CINTA DIRI SENDIRI
Namanya sering kali menjadi bahan kecaman dan sasaran petugas ‘Jabatan Netizen’. Mungkin kerana gambar seksi yang dimuat naik atau kontroversi perceraian yang sehingga kini, tiada siapa tahu mengapa.
Namun masih ada segelintir pihak yang dengan mudah meletakkan kesalahan itu atas dirinya. Dialah punca segalanya. Namun hakikatnya, kita hanya orang luar. Sekadar mendengar dakwaan yang disampaikan entah dari mana datangnya.
“Saya sedih. Sedih sangat dengan mentaliti segelintir pihak. Pelik sebab mereka seperti kenal saya tetapi hakikatnya, tidak. Mereka dengan mudah menyebar cerita yang semuanya hanyalah fitnah.
“Saya tak boleh menutup mulut semua. Hanya boleh berdoa agar semua kepahitan ini segera berlalu. Apa yang terjadi, mengajar saya untuk lebih dewasa. Lebih mengenal dan menghargai diri sendiri.
“Dari satu sudut, saya berterima kasih dengan ujian ini. Buat saya lebih sayang keluarga, teman dan mereka yang sentiasa ada untuk saya. Orang akan sentiasa bercakap buruk tentang kita,” kata pelakon Ratu Kala Jengking ini.
Ditanya adakah kita lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video di media sosial, anak kelahiran Perlis ini ketawa kecil. Dia hanya pening memikirkan soal kapsyen, pasal gambar, itu bukan satu masalah.
“Saya muat naik apa yang disukai dan pastinya, cantik. Saya menjadi diri sendiri. Saya suka berkongsi. Gambar, video atau apa sahaja. Asalkan tidak keterlaluan dan mengaibkan nama sendiri.
“Dunia seni ini mampu menjatuhkan dan menaikkan seseorang. Kita kena bijak dalam mengawal emosi. Kadang kala saya baca juga komen. Memang ada yang jahat bunyi, ada nakal dan murni.
“Tetapi saya fokus yang murni-murni sahaja. Kalau ada yang masih busuk hati, mereka jawab sendiri lah nanti,’ katanya.
SERIK? TIDAK
Sengaja saya menyimpan soalan ini di hujung perbualan. Bukan apa, rasanya sudah acap kali dia mengulang jawapan sama. Cuma manalah tahu tiba-tiba dia sedia berkongsi berita gembira, hati sudah berpunya.
Namun jawapannya tetap sama, memberi fokus kepada dunia seni. Cinta? Jika tiba waktunya, dia sedia menerima. Serik sama sekali bukan satu jawapan. Cuma mungkin bukan sekarang, di kala nama sedang mengharum.
“Siapa sahaja yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai teman hidup? Pengalaman lalu bukan sesuatu yang saya harus dendamkan. Kalau nak cakap serik, tidak juga. Soal jodoh kita tak tahu.
“Itu rahsia Tuhan. Saya juga seorang perempuan, mahu dicintai dan disayangi. Mana tahu kalau saya bertemu jodoh tahun depan dan berumah tangga? Saya bersedia untuk itu.
“Tetapi fokus saya sekarang adalah kerjaya seni. Bukan menolak tetapi banyak lagi saya hendak belajar. Saya juga mahu mencuba pelbagai watak. Tak mahu asyik yang sama kan?” katanya.
Diaju soalan adakah dia senang mengenali seseorang, dia hanya tersenyum manis. Tiada jawapan. Cuma yang pasti ramai yang mahu mendekati. Cuba meraih peluang untuk menembusi tembok hati.
Tetapi awas ya lelaki-lelaki ‘nakal’ di luar sana, Nadia bukan satu percubaan. Dia sudah dewasa. Mahu mencari lelaki bergelar suami, bukan sekadar teman bermesra. Apa yang dilalui cukup mengajar dia.
“Saya terima banyak pesanan di media sosial. Ada yang hantar gambar lucah. Itu membuktikan ada segelintir lelaki yang kesihatan mentalnya membimbangkan.
“Saya buat bodoh sahaja kalau ada yang mengusik. Bagi saya, itu lumrah sebagai seorang wanita. Tetapi jika difikirkan, lelaki pun ada yang kena kacau tau. Dunia sekarang menakutkan!” katanya.