PETALING JAYA: Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara, Deja Moss, juga adalah antara bintang berbakat besar yang dianggap tidak begitu terkedepan berbanding rakan seangkatannya yang lain.
Bagaimanapun sebagai seorang artis, Deja mengaku keadaan itu mungkin berlaku atas beberapa faktor dan daripada banyaK sudut.
“Ada yang memilih jalan dengan bersandar pada populariti, tetapi sampai bila? Artis baru datang bersilih ganti dan lambat laun mereka yang mengharap pada populariti dan kisah sensasi akan terpinggir. Perkara itu juga akan berlaku kat mereka nanti.
“Kalau dalam keadaan sekarang mungkin platform besar untuk tonjolkan bakat agak terbatas, jadi artis-artis muda ini tak banyak dapat peluang kerja dengan pemuzik yang bagus. Iyalah, dulu ada pentas macam Planet Hollywood, Hard Rock Cafe untuk artis baru tonjolkan kebolehan sebenar sebagai penghibur.
“Sekarang lebih kepada platform digital dan penonton tak rasa kedekatan dengan seseorang artis. Mereka lebih bagi perhatian pada artis viral dan sensasi. Itu yang buat segelintir artis yang ada bakat tapi akses sumber terbatas susah nak dapat tempat,” katanya.
Kongsi Deja lagi, perkara ini juga jika dibiarkan lama-kelamaan akan membuatkan industri hiburan kita tidak lagi dilihat sebagai industri yang serius kerana kekurangan bakat berkualiti.
“Media juga perlu mainkan peranan. Kalau asyik kejar artis sensasi, macam mana artis yang hanya bersandar pada bakat ini nak ke depan? Jadi, kena seimbangkanlah,” katanya.