DINOBATKAN Miss Universe Malaysia 2020 (MUM2020), Francisca Luhong James, 26, mencipta sejarah sebagai gadis keturunan Dayak pertama memenangi gelaran itu.
Apatah lagi, pada zaman remajanya, dia tidak pernah berniat memasuki pertandingan ratu cantik. Ketika memutuskan bertanding di MUM2020, niatnya cuma mencabar diri dan memberi persembahan terbaik.
Lantas, apabila dimahkotakan sebagai juara, kegembiraannya adalah berganda.
“Sebelum ini, saya memang jenis lasak dan jarang tampil feminin. Bahkan, saya tidak pernah pun terfikir layak untuk bertanding ratu cantik apa lagi mahu mencuba nasib dalam bidang ini.
“Pada 2015, baru saya memberanikan diri mencubanya selepas seorang kenalan yang kini sahabat karib melihat potensi besar dalam diri saya. Dua kali mencuba nasib dalam Miss World Malaysia, ternyata memberi pengalaman berharga walaupun tak menang.
“Ketika uji bakat MUM2020, hanya ibu saya yang tahu. Tidak sangka, dapat sokongan luar biasa, sehingga berjaya mendapat mahkota itu,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.
Berkongsi pengalaman, Francisca sanggup berhabis ribuan ringgit demi mempersiapkan diri. Dalam fikirannya mahu buktikan dirinya bekerja keras tanpa fikir menang atau kalah.
Menurutnya, dia mahu menyertai ratu cantik itu buat kali terakhir sebelum bersara, justeru, dia ingin tinggalkan impak dalam persembahannya.
“Persiapan elemen penting untuk menjadi ratu cantik disegani. Saya berhabis untuk penggunaan studio, sesi fotografi, latihan jalan pentas dan pengucapan awam,” katanya.
Menjadikan Ratu Cantik Universe 2018 dari Filipina, Catriona Elise Gray sebagai idola, pertandingan ratu cantik pertama disertai Francisca adalah ketika pesta menuai di Sarawak dengan menggayakan busana tradisional Iban. Beliau meraih tempat kedua.

SEIMBANG CANTIK & BIJAK
Malaysia adalah antara negara yang aktif menghantar wakil ke setiap pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa. Beberapa wakil Malaysia yang dipilih sebelum ini juga mempunyai pakej lengkap dengan wajah yang jelita dan paling penting bijaksana.
Baru-baru ini Miss Grand Malaysia, Lishalliny Kanaran yang menggayakan rekaan ‘7 puteri purba Ulek Mayang’ memenangi pakaian kebangsaan terbaik di Bangkok, Thailand.
Bagi Francisca, itu merupakan pencapaian terbaik negara dan perkembangan positif pertandingan ratu cantik.
“Pertandingan ini sama seperti acara sukan, kalah sekali tidak semestinya kalah selamanya. Jika kita terus mencuba pasti akan berjaya.
“Kriteria untuk pemenang juga berubah saban tahun. Ini menyebabkan setiap perwakilan masih gagal mencapai kriteria yang ditentukan oleh penganjur dan panel juri,” katanya.
Tambahnya, tidak mustahil negara mungkin seperti Filipina yang melahirkan ratu-ratu cantik berpotensi. Pun begitu, wanita yang bergelar ratu cantik tidak hanya bergantung kepada kecantikan luaran semata-semata.
“Bagi saya, cantik dan bijak itu perlu seiring. Kebijaksanaan itu menjadi faktor ‘wow’ dan perjuangan ratu cantik tidak hanya habis di pentas pertandingan. Mungkin ada sesuatu yang akan dilakukan selepas pertandingan walaupun kalah.
‘Saya tidak mahu menjadikan kekalahan peringkat antarabangsa sebagai pematah semangat. Saya mahu menjadi figura yang membantu negara menggalakkan anak-anak muda untuk terus ke depan dan tidak putus asa. Isu utama yang saya mahu perjuangkan ialah ekonomi wanita khususnya di luar-luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, pencapaian tertinggi wakil Malaysia setakat ini di pentas ratu cantik adalah menerusi Lina Teoh yang mendapat tempat ketiga di pentas Miss World 1998.
BIASA LASAK
Perjalanan anak sulung daripada tiga beradik itu hakikatnya cukup panjang sebelum berjaya dimahkotakan MUM 2020. Cerita Francisca, segalanya bermula ketika berusia 18 tahun semasa bekerja sambilan di kedai menjual cenderamata milik ibu saudara di Kuching.
Cerita gadis berketinggian 175 sentimeter itu, pada satu hari, kedai itu dikunjungi seorang jurusolek ratu cantik yang ingin membeli cenderamata untuk digayakan seorang ratu cantik.
“Jurusolek itu terpegun melihat wajah dan ketinggian tubuh saya. Dia cakap, pakej yang dimiliki saya amat sesuai untuk menjadi seorang model. Padahal ketika itu saya jenis yang lasak dan jarang tampil feminin. Sejak itu, dia melatih saya menjadi peragaan sambilan,” ujarnya.
Minat tersebut diteruskan sehingga dia menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda dalam Perhubungan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Melaka.
Pun begitu, di sebalik penampilannya yang cukup menarik, siapa sangka figura ini menyimpan pelbagai kisah suka dan duka. Menurut Francisca, tidak ramai yang tahu sebenarnya dia seorang yang pemalu. Namun ia tidak menghalangnya aktif bersukan di sekolah.
Disebabkan sering terdedah kepada cahaya matahari ketika melakukan aktiviti, kulitnya agak gelap dan begitu kurus sehingga kelihatan seperti seorang yang sedang sakit.
Disebabkan faktor fizikalnya ketika itu, dia juga pernah dibuli oleh rakan sebaya.
Bagaimanapun, katanya, dia berjaya meningkatkan keyakinan diri ketika di tingkatan enam. Sejak itu dia berazam memartabatkan nasib para wanita. Malah, Francisca juga nekad untuk terus memegang azam tersebut sehingga kini.
“Semasa di tingkatan enam, saya mula berazam untuk tingkatkan keyakinan. Yang menariknya, waktu itu saya belajar di sekolah semuanya pelajar lelaki tetapi untuk tingkatan enam pelajarnya campurlah kan? Ketika itulah saya banyak kawan.
“Saya belajar di sekolah perempuan dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Jadi saya memang tahu bagaimana bila bercampur dengan semuanya perempuan tetapi tidak rasa lebih semangat untuk ke depan. Di situlah saya berazam untuk buktikan kemampuan wanita” jelasnya.

Bercerita lanjut, beliau turut berkongsi latar belakang kehidupannya di Sarawak, yang sebahagian besar menyumbang kepada pembentukan jati dirinya yang kini bergelar ratu cantik.
Ujarnya, ia pengalaman yang amat berharga dan ini membuktikan wanita, tidak kira di mana mereka berada, mampu berjaya.
“Kami akan melakukan perjalanan dari Kuching ke Sibu dan kemudiannya akan memandu dari Sibu ke Kanowit. Selepas itu, perlu menaiki bot.
“Perjalanan memakan masa dua jam, baru tiba di rumah panjang. Itu situasi sebelum ini. Sekarang sudah ada kemudahan jalan raya di Sungai Poi, Kanowit, senang untuk pergi ke kampung ibu saya.
“Melalui semua pengalaman ini, saya tidak sangka akan menyertai ratu cantik,” katanya.
PROMOSI KEUNIKAN MALAYSIA
Salah satu projek sosial Francisca ialah membantu wanita pelbagai latar belakang untuk berdaya maju melalui program sokongan Women Rise atau Kebangkitan Wanita.
“Projek yang dimulakan sekitar awal tahun ini menyasarkan wanita di Sabah dan Sarawak. Maklumlah di sana ramai wanita masih bergelut mencari peluang di luar. Kami sudah mengatur satu acara dengan sebuah kementerian untuk tujuan itu,” ulasnya.

Francisca juga berhasrat membuka syarikat perhubungan awam sendiri selain mempunyai rancangan travelog bagi membantu mempromosi keunikan Malaysia.
Terbaharu, dia akan ke Dubai mempromosi pelancongan Malaysia.
“Menerusi gelaran MUM 2020 ini, saya ingin memberi balik kepada masyarakat dan negara. Saya ingin membantu mempopularkan tradisi-tradisi unik di negara ini.
“Saya juga ingin bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim atau orang asal,” ujarnya yang terlibat dengan kerja amal membantu mangsa banjir baru-baru ini.










