PETALING JAYA: Penyanyi dan pengarah sensasi, Michael Ang meluahkan rasa hairan apabila muzik video lagu terbaharunya berjudul Cinta Atau Propa, di platform Youtube tiada jumlah tidak suka.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Michael menerusi satu video yang dimuat naiknya di entri Instagram.
Katanya, ramai dalam kalangan warganet mengutuk lagu pertamanya itu namun berasa hairan apabila muzik video tersebut tiada jumlah tidak suka.
“Salam semua, kenapa muzik video saya tiada ‘dislike’ ini? Stress aku.
“Banyak kutuk tetapi tidak ada jumlah tidak suka! Kenapa?
“Atau Youtube sudah tidak menunjuk jumlah tidak suka. Apa pun, saya harap kamu semua selamat berhujung minggu!” katanya di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen perkongsian berkenaan dibanjiri pelbagai respon netizen.
Malah, ada segelintir yang memaklumkan kepada pengarah itu bahawa pihak Youtube kini tidak lagi memaparkan jumlah tidak suka di platform tersebut.
“Allahuakbar, Youtube memang sudah lama tak tunjuk bilangan tidak suka itu. Mesti sebab sibuk mengarah drama kan,” komen seorang warganet.
“Yang buat stress itu anda sendiri. Dah suka tanya kenapa tidak suka. Selepas itu cakap stress,” komen pengguna yang lain.
“Mike, jangan lah buat orang benci kita dengan sengaja. Perkara itu jadi dosa untuk diri kita juga,” tulis juga seorang warganet.
Cinta Atau Propa yang dilancarkan pada Rabu lalu, kini menerima 128,000 jumlah tontonan dan 1,800 jumlah tanda suka daripada penonton.