Arwah bapa tak izin masuk bidang seni - Fauziah Nawi - Utusan Malaysia

Arwah bapa tak izin masuk bidang seni – Fauziah Nawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejujurnya, saya jarang menonton drama Melayu. Boleh dikira dengan jari. Bukan tidak tengok langsung. Tapi kurang mengikuti. Mungkin kerana kekangan masa.

Tetapi saya ingat lagi akan sebuah drama ini. Ombak Laut China Selatan tajuknya. Arahan pengarah tersohor, Rashid Sibir yang ditayang sekitar tahun 2008 tak silap saya.

Pada saya, drama ini luar biasa hebatnya. Antara yang membuat saya beremosi. Pelakon bukan calang-calang. Ada Eman Manan, Jalil Hamid, Zul Huzaimy dan ramai lagi.

Satu nama saya tak sebutkan lagi. Nama ini cukup gah dalam industri. Menerusi drama itu, saya betul-betul melihat seorang seniwati.

Dia kita kenali, Fauziah Nawi. Bukan ingin terlalu menyanjung. Tetapi saya tak menipu diri. Saya amat terkesan. Lakonan figura ini, terlalu menjadi.

Saya bertuah kerana diberi kepercayaan menulis di ruangan ini. Ramai anak seni hebat saya dekati. Dan kali ini, izinkan saya tampilkan Fauziah Nawi.

Saya berpeluang hubungi pelakon ini. Nak berjumpa, tak ada kesempatan lagi. Sekadar berbual di telefon. Cukuplah. Dia pun sibuk. Tawaran berlakon sana sini.

Panggilan awal tak berjawab. Kata hati saya, sibuk agaknya. Selang beberapa minit, dia hubungi semula. Alhamdulillah, rezeki saya.

Kata pelakon yang saya panggil Ibu ini, dia sihat. Benar, jadualnya padat. Tawaran berlakon silih berganti. Murah rezeki Fauziah Nawi.

“Banyak juga. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Ibu ada berlakon iklan. Untuk Youtube dan sebagainya. Alhamdulillah.

“Ibu juga baru selesai pementasan online. Tajuknya Matinya Seorang Pahlawan. Tajaan penuh Yayasan Hasanah. Alhamdulillah,” katanya.

Kata Fauziah, tahun ini ada berlakon filem. Padang Kertas tajuknya, arahan Khir Rahman.

“Cerita pasal orang sakit (mental). Tak terima kematian orang tersayang. Ibu bawa watak emak.

“Ada Jalil Hamid, Namron, Vanidah Imran, Pekin. Ramai lagilah. Pelakon baru Ibu tak kenal sangat,” kongsinya.

Kalau awak tak bagus, tak baguslah

Saya minta dramatis ini ceritakan permulaannya menjadi pelakon. Saya pasti, tak ramai yang tahu. Seorang Fauziah Nawi asalnya penari dan penyanyi. Bukan pelakon macam hari ini.

“Ibu bermula sebagai penari dan penyanyi. Kemudian baru berlakon. Satu hari, kawan ajak tengok sesi rakaman di RTM. Ibu pergi. Ketentuan, pengurus lantai program itu minta Ibu jadi pelakon ekstra. Berbayar. Dalam RM40 macam tu.

“Lepas itu Ibu diminta datang uji bakat. Dapat. drama pertama Ibu buat masa itu, Tahan Kinabalu. Gambar hitam putih lagi. Nasib Ibu memang baik. Tapi masa itu Ibu ada kerja lain. Petang, habis kerja Ibu pergi latihan menari. Kalau ada persembahan, Ibu pergi.

“Arwah bapa tak izin masuk bidang seni. Tapi, Ibu masuk juga. Degil. Dia tak suka. Katanya engkau buka pintu seluas-luasnya untuk orang mengata, hina, aibkan, hukum dan fitnah engkau. Tapi, dalam tak bagi, dia nasihatkan. Kalau masuk, tak boleh keluar. Buat terus,” ceritanya.

Kata Fauziah, zaman dahulu bukan seperti sekarang. Penggiat seni dibayar murah. Tak macam sekarang, mewah. Tapi, dahulu, industri seni bukan tempat main-main. Yang benar-benar berminat, berbakat, itu yang diberi peluang.

“Dulu, kalau awak tak bagus, tak baguslah. Tak ada disiplin, orang tak nak ambil berlakon. Bayaran pun tak banyak. Zaman 70-an. Jadi pelakon pembantu, dibayar RM180. Cukuplah, untuk zaman itu. Bayaran pula bukan terus dapat. Hujung bulan baru terima. Jangan tanyalah sebulan dapat berapa.

“Muka, cantik atau tidak, belakang cerita. Solek elok-elok, cantiklah jadinya. Sekarang, asalnya tak cantik. Bila sudah berduit, betulkan gigi, hidung. Buang lemak. Cantiklah. Luaran boleh buat, tinggal dalaman itu sahaja.

“Pengarah dahulu tegas orangnya. Kalau pelakon tak bersedia, kenalah. Dia orang faham kerja. Sekarang ini, orang tak boleh bezakan antara tegas dengan garang. Pengarah yang banyak mendidik Ibu, arwah Abdullah Zainol. Tentunya Ibu berterima kasih kepada dia. Banyak mendidik,” katanya.

“Masa Ibu berlakon drama dulu-dulu, ada rehearsal. Sekarang tak ada. Semua hebat-hebatkan. Lepas itu, sekarang ini, ada pelakon salahkan skrip, katanya tak bagus. Bukan itu isunya, dia orang yang tak boleh nak hafal. Maaf cakap. Suka-suka tambah. Tak sedap jadinya. Tapi itulah, siapalah kita nak bercakap,” luahnya.

Nak mencabar apa lagi, you tell me

Ibu dua orang anak ini, kalau kita perhatikan, seringkali membawakan watak emak. Sama ada dalam filem mahupun drama. Saya layangkan soalan ini. Tidakkah dia mahukan kepelbagaian? Cabar lagi kemampuan yang ada.

Katanya, semua watak, jenis apa sekalipun, mencabar. Tinggal sahaja lagi bagaimana pelakon itu menghidupkannya.

“Semua orang tanya, you tak ada watak lain ke nak main? Habis itu? Ada skrip macam itu? Tak ada. Saya tak rasa orang buat skrip untuk pelakon macam kami.

“Nak mencabar apa lagi, you tell me. Apa karakternya? Orang gila? Si miskin kutip botol tepi jalan? Ibu dah buat semua. Yang merepek, mak berangan cakap orang putih, tak ada orang lain buat dahulu, Ibu dah buat masa dengan RTM.

“Apa sahaja watak yang Ibu terima semua mencabar. Soalnya macam mana kita warna karakter itu sahaja.

Namun, kata pelakon ini, dia bebas membuat pilihan. Bagi seorang Fauziah Nawi, kualiti itulah yang diutamakan. Bukan sekadar buat sahaja.

“Cuma kadang, bila baca skrip, saya tahu belakang cerita. Sudah. Macam ini sahaja? Malaslah, penat. Saya tak nak buat.

“Tapi, sejujurnya, kadang-kadang Ibu kena ambil. Demi kelangsungan hidup. Ibu ada tanggungan.

“Kalau hidup seorang, Ibu tak peduli dah. Tapi kadang, ada yang Ibu tolak. Sanggup tak ada duit. Tak apalah. Tak mahulah. Nak buat kerja, semata-mata pasal duit. Tak naklah. Ibu cakap, Allah tahulah nak bagi aku apa. Itu sahaja,” kongsinya.

Kami buat kerjalah

Seronok berbual dengan seseorang yang berpengalaman seperti Fauziah. Banyak ilmu yang dia dikongsikan.

Saya terpanggil berkongsi luahan hati seorang penerima Anugerah Sepanjang Zaman Festival Filem Malaysia ke-31 ini terhadap sikap segelintir pihak yang endah tak endah soal kebajikan penggiat seni.

“Letih, letih dan letih. Dengan sistem kerja sekarang. Kalau nak fikir tentang itu, budak-budak baharu pun, budak kecik, tak disenangkan juga. Apa pasal, budak kecil, belasan tahun tapi kerja macam orang tua. Kadang-kadang, dari pagi ke pagi. Sampai budak itu tertidur dekat set. Pukul tiga pagi dibangunkan. Lepas itu engkau orang bayar dia, tak setimpal. Kenapa ya? Sebab dia budak lagi? Budak kecil itu bekerja lebih daripada orang tua tahu tidak?

“Lagi satu, orang tua macam kami ini buat kerja juga. Adakah kami dah tua, kami tak dijemur tengah panas? Adakah kami pulang lebih awal? Adakah kami ini tak buat apa-apa, duduk sahaja dekat set, berseronok-seronok. Tak ada, kami buat kerjalah.

Pada masa yang sama, Fauziah juga kesal dengan layanan segelintir pihak terhadap pekerja seni yang bersifat tidak adil dan sama rata.

“Tak boleh buat macam itu. Engkau orang layan budak-budak ekstra macam apa? Tak tahu nak cakaplah. Nanti orang marah Ibu pula. Aku ini kan selalu ‘dicop’ jahat. Walaupun Ibu cakap yang betul.

“Semua pelakon berhak minta jumlah bayaran mereka mahukan. Dana pula sangat terhad. Akhirnya, siapa yang menanggung. Karyawan. Yang kerja di belakang. Termasuklah pelakon yang orang gelar ‘serdak-serdak kok puih’. Kami semua kerjasama, tahu tidak?

“Sekarang, Assistant Director (AD) merana. Betulkan jadual nak ikut masa artis top yang diperlukan sangat itu. Merata-rata perginya. Kasihan AD. Sebab itu, arwah anak Ibu, Pitt Hanif dahulu dikatakan AD paling mahal. Sebab apa? Kena cuci ‘najis’ semua orang. Kerja-kerja orang lain, yang tak senonoh. Itu tak ada, ini tak ada. Macam itulah. Kita nak cakap macam mana?” luahnya berang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×