CYBERJAYA : Pernah dua kali mengalami kegagalan dalam alam rumah tangga, selebriti dan usahawan, Joy Revfa, mengaku tidak pernah berasa serik untuk kembali memegang status isteri sekiranya takdir menemukannya dengan lelaki yang tepat selepas ini.
Menurut Joy, malah ketika hubungannya dengan seorang jurulatih kecergasan putus di tengah jalan sekitar Mac tahun lalu juga bukan penyebab untuknya menutup pintu hati buat mana-mana lelaki yang ingin mengenali.
“Sepatutnya kami berkahwin tahun lalu. Tapi saya membatalkan perkahwinan itu kerana rasa tidak serasi dengannya. Saya akur dengan ujian hidup ini yang mana, kita mungkin tak akan dapat apa yang diingini tapi hidup perlu diteruskan.
“Sekarang saya akui masih single. Rasanya, bercinta dengan perniagaan lebih menenangkan. Buat masa sekarang, memang itulah fokus saya, sibuk dengan kerjaya dan anak. Jika Allah hadirkan jodoh lagi selepas ini, insya-Allah saya terbuka menerimanya.
“Tak ada istilah serik sebab manusia dilahirkan berpasangan. Saya tak menolak fitrah itu. Kita hanya mampu merancang, selebihnya ketentuan Tuhan,”katanya.
Joy berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran gincu BlackRevfa keluaran MERVE Cosmetics Malaysia di Skyglass, di sini, kelmarin.
Selain itu, Joy meski tidak bersedia untuk berkahwin buat masa ini, dia bagaimanapun mengaku ada didekati beberapa orang lelaki yang ingin mengenali.
“Jujur ada berkawan dan berkenalan. Ada yang atas paksi profesional. Ada juga yang cuba menambat hati. Tapi entahlah,saya pun tak mahu larut dengan perasaan sebegitu dulu,”katanya.
Ditanya mengenai ciri lelaki yang disukai, kata ibu kepada Muhammad Arryan Firdaus, 7, ini, dia berharap selepas ini dipertemukan jodoh dengan lelaki yang memiliki kualiti seorang suami, bertanggungjawab dan mampu membimbing keluarga.
“Kalau boleh, biarlah dia boleh menyayangi anak saya juga selain saya. Satu lagi, saya harap lelaki berkenaan dapat membimbing bukan sahaja dari aspek rumah tangga, tetapi juga dalam bab agama,”katanya.
Dalam pada itu, Joy atay nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, mengaku perlu terus bangkit dan maju ke hadapan tanpa berpaling ke belakang atau duduk menangisi kegagalan di masa lalu.
“Saya terus bangkit dan segera ‘move on’ demi anak tunggal. Malah perasaan itu turut didorong keinginan yang sangat kuat dan rasa bertanggungjawab nak membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal seperti saya di luar sana lebih berjaya.
“Saya bagai beroleh kekuatan dan ingin mencabar diri menjadi yang terbaik. Menjadi ibu tunggal, ada dua perkara yang harus kita hadapi iaitu harus lawan dan kalahkan apa juga cabaran mendatang. Ia bertitik tolak kepada rasa takut dan tak mampu.
“Kita diciptakan untuk mewujudkan kemuliaan Allah SWT dan memanfaatkan kelebihan yang ada dalam diri kita. Percayalah setiap kelebihan bukan ada pada sesetengah orang tapi ada di setiap dalam diri kita. Cubalah cari, anda pasti akan jumpa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kehadiran gincu edisi terhad BlackRevfa yang juga produk ke-30 dikeluarkannya terus membuatkannya tak menang tangan.
Serentak dengan pelancaran produk berkenaan, Joy mengalu-alukan sesiapa yang terkesan dengan keadaan pandemik COVID-19 ini untuk mulakan perniagaan dan menjana pendapatan.
Koleksi BlackRevfa ini boleh didapati melalui laman web rasmi di pautan http://www.mervecosmetics.com.my/
Untuk rekod, perkahwinan pertama Joy dengan seorang usahawan, Datuk Ray Imran hanya mampu bertahan selama setahun dan kedua-duanya bercerai pada tahun 2015.
Kemudian, perkahwinannya dengan penyanyi dan selebriti, Hafiz Hamidun pula berlangsung pada 1 Mei 2017 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam.
Namun perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila Joy Revfa memfailkan pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah pada 21 Ogos 2017.
Kedua-duanya sah bercerai pada 25 Oktober 2017.