Saya puji Fazley Yaakob kerana keberaniannya - Datuk Ramli MS - Utusan Malaysia

Saya puji Fazley Yaakob kerana keberaniannya – Datuk Ramli MS

Fazley Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli MS memuji keberanian cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang tekad berjuang dalam program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) meskipun terhenti pada minggu keempat.

Diumumkan tersingkir pada malam tadi, Ramli bagaimanapun melihat Fazley memiliki daya usaha yang tinggi untuk memberikan yang terbaik mengikut keupayaannya dalam bidang nyanyian.

“Apa yang boleh saya katakan, dia tekad dan keberaniannya untuk masuk program ini juga membuatkan saya kagum dan tabik hormat pada dia.

“Dia berani, walaupun dia mungkin tahu dirinya berisiko untuk terkeluar awal. Saya pun tak rasa dia nak popular sebab dia dah ada platform lain. Tapi dia nak menyanyi, tak apa. Saya kagum,”katanya.

Ramli berkata demikian usai konsert minggu keempat GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, ulas Ramli, juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 itu kehilangan banyak markah pada aspek vokalnya menerusi persembahan lagu Mahligai Syahdu nyanyian asal Datuk Hattan semalam.

Dibandingkan secara keseluruhan, Fazley hanya berjaya mengumpul markah sebanyak 50%, kurang 0.5% dari penyanyi negara seberang, Upiak Isil.

“Jika tengok pada kreativiti, ia duduk dalam persembahan iaitu cuma 20 peratus. Vokal 80 peratus dan hilang banyak markah pada vokal.

“Kadang-kala walau dapat markah tinggi dari segi persembahan pentas, ia tidak membantu.

“Tapi secara matematiknya, markah vokal lagi tinggi jika dibandingkan dengan persembahan pentas. Sepatutnya aspek itu dijaga,” ujarnya lagi.

Konsert keempat GV8 menyaksikan Adibah Noor yang menyanyikan lagu Jika (Melly Goeslaw & Ari Lasso) dalam rendisi keroncong merangkul kedudukan pertama dengan kutipan markah sebanyak 78.1%.

Selain Ramli MS, kerusi juri juga diduduki oleh Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat yang juga akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Dalam pada itu, Program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) terbitan Astro Ria telah dinobatkan sebagai Program Muzik/Tarian Terbaik Asia di Asian Academy Creative Awards 2021 (AACA 2021) yang berlangsung di Singapura pada 3 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN