"Pernafasan sedikit terganggu" - Aliff Iskandar rakam Takdir selepas pulih Covid-19 - Utusan Malaysia

“Pernafasan sedikit terganggu” – Aliff Iskandar rakam Takdir selepas pulih Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 10 jam dalam studio rakaman. Itulah pengalaman luar biasa penyanyi baharu, Aliff Iskandar ketika merakamkan lagu Takdir sekitar pertengahan tahun ini.

Kata Aliff, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu berkenaan kerana ketika itu baru pulih daripada wabak Covid-19.

“Memang waktu itu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya tapi saya perlu merakamkan lagu ini.

“Sebenarnya keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja cuma pernafasan sedikit terganggu membuatkan proses rakaman menjadi lama.

“Tapi keadaan tersebut tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman dan saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab merakamkan lagu Takdir. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Lagu Takdir yang mengisahkan tentang hubungan cinta yang tidak kesampaian merupakan hasil ciptaan Aliff sendiri manakala lirik pula merupakan tulisannya bersama penulis berbakat, Jaja Ishak.

“Apabila menulis lirik Takdir pada peringkat awal, saya membayangkan sebuah perhubungan. Adakah hubungan itu berakhir dengan kegembiraan atau pun sebaliknya.

“Semua orang mampu merecanakan hubungan apa yang mereka mahukan tetapi pada akhirnya takdir juga yang akan menentukan ke mana hubungan tersebut berjalan,” jelas empunya nama sebenar Nor Aliff Iskandar Norazmi ini.

Rezeki berpihak kepada penyanyi muda ini apabila lagu berkenaan bakal dijadikan runut bunyi untuk drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang akan ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 20 Disember depan.

“Memang saya bersyukur apabila lagu ini dipilih untuk menjadi runut bunyi bagi drama berkenaan. Sebagai orang baharu, saya gembira apabila pihak produksi percaya kepada bakat dan hasil kerja saya.

Ini memang pengalaman yang manis untuk penyanyi seperti saya,” ujarnya.

Takdir boleh didengari di semua platform digital. Video muziknya pula boleh ditonton melalui saluran Youtube Indigital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN