fbpx

Pelamin asal musnah kerana banjir, Uyaina dan Syahiran tetap teruskan nikah

KUALA LUMPUR : Turut terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di sekitar Selangor dan ibu kota, pasangan pengantin baru, Uyaina Arshad,29, dan Raja Syahiran,28, mengaku tetap teruskan perancangan untuk bernikah hari ini.

Menurut Uyaina, asalnya pelamin yang ditempah adalah berbeza namun sehari sebelum majlisnya berlangsung pihak perancang perkahwinan terbabit memaklumkan gudang penyimpanan kelengkapannya yang terletak di Puchong, Selangor telah musnah akibat banjir.

“Sepatutnya malam berinai diadakan pada malam tadi dengan tema ‘Arabian Night’ tapi terpaksa dibatalkan. Bukan itu sahaja, pelamin saya juga musnah.

“Pelamin asal yang sepatutnya dipasang pada pagi ini tidak dihantar gara-gara hanyut dibawa arus banjir pada Ahad lalu.

“Kami terpaksa berlapang dada.Mujurlah ada perancang perkahwinan lain yang jadi bidan terjun walaupun pada saat-saat akhir.

“Sejujurnya kami tidak berasa terkilan pun sebab yang penting ijab qabul dan dikelilingi keluarga dan rakan terdekat,” katanya.

Uyaina berkata demikian semasa ditemui pada majlisnya yang diadakan di Colony Star Boulevard, KLCC di ibu kota.

Uyaina selamat diijabkabulkan dengan Syahiran pada pukul 9.03 pagi tadi.

Pelakon drama Love Elsa ini telah dinikahkan oleh abang kandungnya, Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah dan dua orang saksi.

Selain itu, kata Uyaina, dia dan suaminya sangat tenang dalam berdepan dengan ujian yang melanda meski sedar hari bahagia mereka seharusnya berlangsung dalam keadaan sebagaimana yang dirancang.

“Sebenarnya rumah Syahiran di Subang pun terjejas akibat banjir. Kami berdua saling ketawa apabila mengenangkan pelbagai ‘drama’ yang berlaku sebelum majlis ini dapat dijalankan.

“Saya tidak menangis langsung apabila keadaan begini terjadi. Sebab sepanjang proses Syahiran sentiasa ada bersama. Kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Syahiran, dia dan Uyaina merancang untuk menikmati bulan madu di Eropah namun terpaksa membatalkan hasrat tersebut gara-gara bimbang dengan penularan wabak dan varian baru Covid-19.

“Sepatutnya kami akan terbang ke Eropah untuk berbulan madu pada Khamis tapi terpaksa membatalkan hasrat itu. Tiket pun sudah dibeli dan semua perancangan sudah dibuat.

“Tak cuma itu, keluarga saya di sana pun ada yang diduga dan dijangkiti virus tersebut.

“Memang kami alami kerugian. Tapi tak perlu rasanya kami kongsikan jumlahnya apalagi dalam keadaan sekarang. Ramai lagi yang lebih terkesan dengan bencana sedang melanda negara pada waktu ini. Kita sama-sama doakan semua kembali pulih dengan segera,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN