PETALING JAYA: Penyampai radio terkenal, DJ Lin berkongsi pengalamannya apabila seorang kenalan yang juga merupakan rakan industri hiburan didakwa telah meminjam wang sekitar lima tahun lalu.
Dedah Lin menerusi Instagram, individu yang didakwa ‘liat’ untuk membayar hutangnya itu sehingga kini masih belum melunaskan wang yang dipinjam daripadanya.
“Jom! Kita kongsi cerita tentang #Hutang. Siapa ada pengalaman orang pinjam duit selepas itu liat nak bayar? DJ Lin ada pengalaman orang dalam industri hiburan sendiri.
“Kisah sekitar lima tahun lepas, dia hubungi Lin nak meminjam untuk membayar bayaran artis serta katanya akan bayar semula dalam masa terdekat bila dapat bayaran daripada penganjur. Jumlahnya empat angka.
“Sampai sekarang diam dan buat tidak tahu sahaja. Awal dahulu ada juga tanya bila boleh membayar semula tetapi jawapannya menghampakan. Sampai sekarang tiada inisiatif nak hubungi Lin, apatah lagi kemas kini tentang bila hendak bayar hutang itu,” katanya.
Mengulas lanjut, penyampai radio terkenal Suria FM itu berharap dan menitipkan doa agar si peminjam berkenaan terbuka hati untuk membayar semula pinjaman tersebut.
“Moga Allah gerakkan hati dia untuk membayar semula kerana duit itu Lin memang memperuntukkan untuk kecemasan untuk membantu ahli keluarga serta kawan disaat memerlukan.
“Pesan orang tua dulu-dulu, orang yang liat membayar hutang ini hidupnya tidak akan tenang dan susah berjumpa senang,” coretnya panjang.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut berkongsi pengalaman hutang selain meminta penyampai radio itu bersabar.