Jadi ibu Remy Ishak, Che Ta tolak bukan sebab berlagak sombong - Utusan Malaysia

Jadi ibu Remy Ishak, Che Ta tolak bukan sebab berlagak sombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon yang sentiasa menjaga keterampilan, Rozita Che Wan, mengaku baru-baru ini terpaksa menolak tawaran untuk menggalas watak ibu atau karakter matang atas sebab tertentu.

Menurut pelakon yang selesa dipanggil Che Ta ini, dia terpaksa berbuat demikian kerana memikirkan aspek realistik dan enggan ada pihak yang beranggapan dirinya sudah berlagak sombong.

“Saya akui, baru-baru ini, ada sebuah produksi mega drama berdurasi 40 episod yang menawarkan watak menjadi ibu kepada aktor Remy Ishak.

“Saya sebenarnya okey saja pegang watak ibu. Tapi tidaklah sampai tahap pelakon yang jadi anak itu dilihat dewasa sangat. Kalau orang tengok perkembangan kerjaya saya, mereka pasti tahu yang saya ini pun selalu dapat watak ibu dan ia bukan isu besar.

“Cuma agak-agaklah juga nak gandingkan saya dengan pelakon yang jadi anak itu. Saya rasa Remy terlalu matang untuk jadi anak saya dalam drama berkenaan. Kalau nak digandingkan pelakon watak ibu dan anak, biarlah logik dek akal,” katanya.

Sebelum ini, kakak kepada pelakon Ayu Raudah ini mengaku sudah beberapa kali digandingkan dengan Remy, malah dengan kebanyakannya watak sebagai kekasih.

“Antaranya termasuk telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar yang turut berentap di Anugerah Skrin 2011.

“Sebelum itu saya dan Remy pernah saja beberapa kali berlakon sama,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu baru baru ini ditemui di majlis anjuran syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah, HOMEVEST disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.

Rekod itu diwarta selepas syarikat berkenaan diiktiraf sebagai syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan Program Pemilikan Rumah untuk Pekerja atau Home Ownership Programme for Employees (H.O.P.E).

Dalam pada itu, Che Ta yang juga pelakon drama Tahyul menerusi watak Detektif Masni menafikan dirinya kini bergelar duta kepada syarikat perumahan berkenaan.

“Tidak sama sekali bergelar duta, tapi saya antara yang turut mendapat nasihat syarikat terbabit dalam soal pemilikan dan pembelian rumah.

“Kebetulan adik ipar saya, Datuk Wira Muhammad Faizal Zainol menjadi penasihat syarikat terbabit, jadi saya banyak mendapatkan nasihat daripada mereka,” katanya.

Che Ta yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kelapan bersama suaminya, Zain Saidin pada 11 Disember ini juga mengakui tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baru di Petaling Jaya, Damansara.

“Soal pindah rumah baru ini memang tertunda sebab situasi pandemik kini. Awal dulu pun saya pernah terkena dan rugi jutaan ringgit sebab projek pengubahsuaian rumah gagal disiapkan kontraktor dilantik.

“Tapi sekarang perlahan demi perlahan, saya cuba curi masa mengawasi perkembangan proses ubahsuai dan siapkan rumah itu dengan kontraktor lain.

“Adik ipar saya yang tahu selok belok hartanah dan perumahan pun banyak membantu serta beri nasihat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya