SHAH ALAM: Prihatin dengan nasib pelarian di Syria, kumpulan InTeam tampil menyerahkan dana berjumlah RM370,000 untuk kempen Musim Sejuk Syria Siri 10.
Cek sumbangan diserahkan kumpulan tersebut kepada Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) dalam majlis khas yang diadakan di sini, semalam.
Turut hadir adalah Pengerusi Peduli Insan, Mohd. Luqmanulhakim Mohd. Rezuan.
Menurut salah seorang anggotanya, Muhammad Hazamin Harun, dana tersebut adalah hasil sumbangan peminat dan penyokong InTeam yang berjaya dikumpul dalam tempoh lima bulan.
“Alhamdulillah, dalam lima bulan, kami berjaya kumpul RM370,000 untuk disumbangkan kepada Peduli Insan bagi kempen Musim Sejuk Syria Siri 10.
“Pelbagai usaha dilakukan sepanjang Ramadan lalu, termasuk perkongsian video lakonan dan secara langsung yang menyentuh isu Palestin dan Syria setiap hari.
“Perkongsian tersebut berjaya membangkitkan kesedaran peminat dan penyokong kami yang menyumbang untuk kempen ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hazamin turut memaklumkan perancangan InTeam untuk menghasilkan lagu kemanusiaan yang dijangka mula dirakam sekitar awal tahun hadapan.
“Kami sedang mencari lagu yang sesuai untuk dirakamkan. Jangkaannya pada awal tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Luqmanulhakim dalam kenyataan berkata fokus Peduli Insan bagi kempen kali ini tertumpu kepada dua inisiatif iaitu Selimut Kasih Syria dan Suapan Kasih Syria.
“Musim sejuk di sana boleh jatuh ke paras negatif 5 darjah selsius. Pelarian-pelarian pula tinggal dalam khemah dan sering berdepan masalah banjir yang turut memusnahkan makanan, pakaian, selimut dan sebagainya.
“Selain itu, mereka yang juga diancam wabak Covid-19 dan sukar mendapatkan makanan serta rawatan yang secukupnya,” katanya.
Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bernombor 12038010136375.
Untuk maklumat lanjut, layari www.peduliinsan.org atau hubungi 0167706432.