Meniti usia yang kelapan tahun sebagai rancangan realiti pilihan masa kini, Gegar Vaganza musim 8 (GV8) kembali lagi dengan menampilkan penyanyi-penyanyi profesional yang sekian lama hilang dari radar seni dan hiburan tanah air.
Kehadiran mereka kali ini ada yang sudah dijangka, antaranya penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor; penyanyi dangdut, Ani Maiyuni, finalis Malaysian Idol musim pertama, Nikki Palikat dan juara One In A Milion musim pertama, Suki Low.
Peserta lain yang turut berentap di kaca televisyen bermula 21 November ini ialah Aweera, Bandi Amuk, Azan Scan, Shidee, Datuk Fazley Yaakob, Saiful Apek dan Yassin, kumpulan Nico; penyanyi dari Singapura, Alif Aziz dan Upiak Isil dari Indonesia.
Pastinya, GV8 akan memberikan ramalan baharu siapa bakal bertahan selama 11 minggu atau lebih (jika tiada lanjutan siaran menyorot musim-musim sebelumnya) sekali gus menjuarai musim kali ini sebaris dengan juara-juara terdahulu.
Siapa yang tersingkir awal, kekal tiga teratas dalam senarai keputusan mingguan, yang tercorot tetapi mampu bertahan ke pusingan akhir, yang ‘kurang’ tetapi popular, sensasi dan kontroversi, yang berbakat tetapi tidak dipandang – ini semua sudah boleh diteka.
Benar, terlalu awal membuat kesimpulan kerana sesungguhnya permainan stesen televisyen, pengurusan artis atau syarikat rakaman, tiada siapa yang mampu meramalnya. Cuma, sebagai penonton menyingkap corak penyertaan peserta-peserta GV sebelum ini, itulah hakikatnya.
Bagaimana Noraniza Idris di GV7, sentiasa berada di kedudukan selesa hampir setiap minggu walaupun persembahannya didakwa kurang menarik sehingga mengundang kecaman ramai.
Namun Ratu Etnik Kreatif itu hanya mendapat tempat keempat. Apa pun, tahniah Kak Ani kerana di usia ini terus relevan dan membawa irama tradisional Melayu ke pentas-pentas besar termasuk GV.
Siapa yang masih ingat Naqiu dan Hady Mirza dinobatkan sebagai ‘juara bersama’ di GV6 hanya kerana kedua-dua penyanyi itu ‘menghormati’ bunyi dan lagu ketika menyanyikan lagu Haaa Tepok dendangan asal MeerFly, MK K-Clique & Kidd Santhe? Jarang-jarang ia berlaku dalam suatu pertandingan atau mungkin tiada langsung!
Pasca GV: Ke mana arahnya?
Dalam keadaan ini, apa lagi boleh diduga di GV8? Penulis kira, kekuatan GV8 terletak kepada beberapa penyanyi sahaja iaitu Adibah, Nikki, Aweera dan Amuk. Begitu juga dengan Alif dan Upiak kerana kita mahu memasarkan program ini lebih luas ke negara jiran, manakala selebihnya, mungkin sekadar mewarnai perjalanan GV dan hiburan penonton pada hujung minggu.
GV telah melahirkan semula penyanyi-penyanyi sebelum ini yang mungkin kurang atau tidak ‘istiqamah’ dalam bermuzik.
Saluran yang memberikan mereka peluang kedua ketika era kegemilangan mereka sudah berlalu.
Ifa Raziah, meski dinobatkan sebagai pemenang tempat kelima pada musim pertama, akibat memeluk seorang pelakon kacak semasa persembahannya telah meninggalkan impak yang begitu besar untuk kerjaya seni penyanyi Ser Ser Ser itu walau dihambat tomahan dan kecaman.
Lihat sahaja bagaimana rezeki mencurah-curah untuk Siti Nordiana di GV2 ketika dia pernah dirasakan sudah tidak relevan lagi dalam industri. Lantas, lagu Memori Berkasih kembali menjadi fenomena selepas 18 tahun usia lagu itu. Begitu juga Aishah GV4, penyanyi veteran itu terus memahat nama dalam industri muzik selama empat dekad.
Elly Mazlein di GV3, walaupun hanya mampu bertahan selama empat minggu, namun GV telah membawanya meneroka lebih luas bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah seni lakon dan pengacaraan di acara-acara yang berprestij.
Pun begitu, jika suratan sudah tertulis bahawa GV bukan ‘lubuk’ rezeki untuk seseorang penyanyi, jika jadi, maka jadilah ia. Ramai sahaja penyanyi selepas menghabiskan pertandingan itu seperti tiada yang berubah. Tiada undangan persembahan, tidak muncul di kaca televisyen, malah tiada naskhah baharu untuk diketengahkan.
Ada juga dalam kalangan juara-juara GV pun belum tampil lagi dengan single baharu atau album baharu masih diperam. Di mana salahnya? Atau zaman kegemilangan mereka sudah tidak boleh diputar kembali? Itulah yang penulis jangka pada peserta GV8, siapa yang akan terus mengukir nama, konsisten dalam bermuzik atau terus sendu seiring usia?
GV sudah mencipta jenama cukup kukuh. Apa pun pertikaiannya nanti, sudah namanya hiburan, ia sepatutnya dinikmati bersama.










