Cinta dan kasih tidak pernah sunyi daripada umat manusia. Pengertiannya amat luas dan tidak mencakupi kasih sayang sesama manusia.
Boleh jadi cinta pada sang kekasih, alam sekitar mahupun pada Penciptanya.
Ia menjadi tunjang dalam naskhah nukilan Ami Masra atau nama benarnya, Aminudin Mansor dalam Kisah Kasih.
Kumpulan puisi ini menghimpunkan karya Ami Masra yang dikarang sejak tahun awal 2000 hingga kini.
Ada lebih 40 sajak dan puisi boleh dinikmati peminatnya.
Sanjungan kasih sayang terhadap pencinta antara biasa diluahkan tetapi penggunaan bahasa yang molek dan manis amat memikat.
Antara yang menarik perhatian ialah sajak bertajuk Patriotisme Bahasa yang ditulisnya di Kuala Semantan, Temerloh, 2018.
Bukan kata, bukan ayat
Tapi kata ayat bersemangat
Melaung kuat Merdeka
Di rumah di tanah tercinta
Enam puluh satu tahun
Bahasa kita tetap sama
Santun menjunjung rukun
Di bawah langit yang sama
Sajak ini jelas memperlihatkan sindirannya kepada sekelompok manusia yang konon memperjuangkan bahasa Melayu namun tidak telus dan kurang ikhlas.
Bahasa ibunda bahasa kita
Mencantik bahasa indah kata
Menjauh segala fitnah nista
Di bawah satu kibaran bendera
Patriotisme bahasa
Jadikan diri hati jiwa sentiasa
Sayangkan bahasa
Bagi peminat sajak dan puisi, buku ini antara wadah wajar dimiliki dalam memenuhi koleksi buku di rumah ada. Tidak sekadar untuk kanak-kanak dan remaja, naskhah ini wajar dimiliki oleh semua peringkat usia.
Nama besar ini juga bukanlah asing dalam dunia sastera tempatan. Beliau disifatkan sebagai pemikir dan pengkaji kerana setiap idea ditampilkan itu memiliki jiwa dan pesan yang boleh kita sematkan dalam jiwa.
Tidak rugi memiliki naskhah putih dengan percikan rona merah jambu yang amat manis ini.











