Bukan janda kaya, tak akanlah rokok pun minta saya bayar? - Upiak Isil - Utusan Malaysia

Bukan janda kaya, tak akanlah rokok pun minta saya bayar? – Upiak Isil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Mendedahkan dirinya sudah menjanda sejak enam tahun lalu, penyanyi, Upiak Isil, 37, serik didekati lelaki-lelaki bermata duitan dan gemar mengambil kesempatan lantaran menganggap dirinya wanita yang kaya.

Menurut penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia ini, keadaan itu menyebabkan dirinya tidak selesa untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki sementelah curiga dengan keilkhlasan mereka dalam berkawan.

“Penatlah. Janganlah lelaki-lelaki yang nak mendekati ini merasakan yang saya ini banyak duit. Saya cari duit untuk makan, bayar segala bil, segala hutang dan berikan kepada orang tua. Janganlah lelaki ini cuma memandang saya ini kaya.

“Pernah tahu, sebelum ini saya kenal dengan beberapa orang lelaki yang bersikap begitu. Sampaikan makan pun saya yang selalu kena bayar. Kalau saling memberi, saling menerima, lainlah juga bukan.

“Bukankah tanggungjawab lelaki itu untuk perempuan? Kalau rokok pun minta saya yang belikan, tak mahulah saya!”katanya.

Upiak berkata demikian semasa ditemui di program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Selain itu, kongsi Upiak, dia sedar tidak ramai yang tahu dirinya menjanda dan mengaku keputusan untuk bercerai sebelum ini bukanlah permintaan bekas suaminya.

“Sebaliknya, saya yang ikhlaskan dia untuk mencari wanita lain kerana diri terlalu sibuk dengan aktiviti seni. Keputusan berpisah dicapai bersama sebab dia pun memang mengharapkan mempunyai isteri yang mampu cuma duduk di rumah, yang mana, saya tak boleh pikul tanggungjawab itu.

“Rumah tangga yang dibina pada tahun 2013 itu cuma bertahan selama empat tahun saja. Jodoh kami tak panjang dan tidak juga punya anak. Khabarnya, dia juga sudah bernikah dengan wanita lain kini,”katanya.

Sementara itu, kata Upiak, walaupun kedua-dua mereka berpisah dengan cara baik, tetapi bukan prinsip dirinya untuk terus mengekalkan persahabatan baik dengan mana-mana lelaki yang merupakan suami orang.

“Saya bukan jenis perempuan yang akan mudah dekat dengan suami orang, walaupun dalam isu ini, dia adalah bekas suami saya. Tak nak ganggu, tak nak bergaduh dengan isteri barunya.

“Lagipun saya pasti, isteri barunya juga tidak akan berasa selesa jika saya baik dengan suaminya itu. Tambahan pula kita tiada anak, jadi langsung tiada urusan penting,”katanya.

Dalam pada itu, kata penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tung Tuang ini, meski pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini, ia tidak bermakna dirinya sudah menutup pintu hati buat mana-mana lelaki lain.

Tidak menolak jiwanya kesunyian, Upiak juga mengaku kini sedang mengenali seseorang namun masih terlalu awal untuk berkongsi lanjut mengenai sejauh mana perhubungan itu mampu bertahan.

“Saya pun pelik, ramai yang nak kenal dengan saya ini, ramai kalangan mereka adalah lelaki lebih muda. Sekarang pun, lelaki yang dekat dengan saya usianya 20 tahun. Tengoklah macam mana, andai ada jodoh, adalah.

“Kalau tahun 2023 saya masih belum juga bernikah, kalau ada lelaki berstatus duda yang nak kahwin dengan saya, okey sahaja. Duda dan sudah ada anak pun tak apa. Asalkan rajin bekerja dan bukan jenis suka menyusahkan isteri,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.