Buat aksi lagak ngeri sendiri bukan bermakna kita aktor sejati - Beto Kusyairy - Utusan Malaysia

Buat aksi lagak ngeri sendiri bukan bermakna kita aktor sejati – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon terkenal, Beto Kusyairy, 41, berpandangan,aktor yang melakukan babak atau aksi lagak ngeri sendiri tidak bermakna dia harus diangkat sebagai seorang pelakon yang sejati dalam industri.

Menurut Beto, perkara tersebut bukan satu penanda aras dalam kerjaya lakonan seseorang pelakon kerana untuk melakukan aksi sebegitu juga memerlukan ilmu dan teknik yang betul.

“Penerbit dah sediakan mereka yang arif dalam hal ini, iaitu pasukan aksi lagak ngeri yang profesional dan bertauliah. Sudah disediakan juga stunt double untuk jadi ‘saya’.

“Tetapi. Saya yang minta nak buat sendiri. Kenapa? Ah..adalah sebabnya.Tapi ini bukan bermakna seorang pelakon memang kena buat babak-babak berisiko tinggi sebegini sendiri untuk diangkat menjadi pelakon yang baik atau kononnya pelakon sejati.

“Saya ulang, ini bukan penanda arasnya dan tidak perlu pun,”katanya.

Beto berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram yang dibuat olehnya semalam menerusi sekeping gambar yang memaparkan dirinya sedang melakonkan aksi membakar diri di sebuah set penggambaran.

Gambar tersebut juga telah menjadi tular di media sosial selepas ia diciap oleh pelakon, Nabila Huda yang melahirkan rasa kagum dengan komitmen yang diberikan oleh Beto dalam menjayakan watak yang diberikan.

Antara ciapan yang dimuat naik oleh Nabila adalah seperti berikut.

“Ini adalah Beto Kusyairy semua! Aktor sejati begini perlukan satu juta pengikutkah? Eh ini gila babi! Kalau tiada orang hargai, tak tahulah. Beto adalah satu daripada pelakon yang terbaik!”tulisnya.

Selain itu, kata Beto, menerusi hantaran gambar yang sama menjelaskan bahawa, aksi yang dilakukan itu tidak dilakukan secara semberono tanpa sebarang pengawasan pihak yang profesional.

“Saya tak minta buta kosong macam itu sajalah. Nak kena ada ilmu dan fahami teknik untuk aksi begini.Nak kena ada pengawasan dan seliaan ketat oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini.

“Nak kena lulus ujian dari pakar-pakar ini dulu sebelum dalam lampu hijau. Nak kena ada keyakinan pada kemampuan diri dulu. Bukan berani bodoh.
“Selainnya adalah doa, fokus dan ketenangan…InsyaAllah,”katanya.

Dalam pada itu, Beto juga menzahirkan ucapan terima kasih terhadap semua pihak terutama peminat dan pengikut yang selama ini menyokong kerjaya seninya termasuk mereka yang telah mendoakan kesihatan, kesejahteraan, kebahagiaan dan keselamatan dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya