BUKAN sekali dua isu bayaran ini diangkat, dijaja atau diperdagangkan.
Umpama, sudah berbuih-buih mulut mencanang dan mengadu perihal yang sama pada pihak-pihak sepatutnya. Namun, tetap juga tiada sebarang perubahan drastik dilakukan atas nama penaik tarafan dan meletakkan standard pada isu bayaran.
Apa yang pelik, andai sahaja seseorang pelakon itu diimport dari luar, soal bayaran seakan tidak menjadi satu masalah buat segelintir penerbit, produksi atau stesen televisyen kita ini.
Harga mengikut sebut harganya, orang kata. Tak perlu banyak kompromi, sejumlah amaun itu mampu sahaja diberikan kepada artis tersebut bagi menepati kemahuan pihak tertentu misalnya.
Toksikkah situasi begini dan apakah kesannya kepada pelakon tempatan sementelah tentu sahaja bayaran yang mereka terima tidak sama dengan harga yang dibayar kepada pelakon luar terbabit?
Persoalannya sampai bila artis kita hendak terus dianak tirikan dari soal bayaran ini? Berikut adalah beberapa artis berikut yang tampil menyuarakan pandangan mereka.
Lebih baik hargai apa yang ada – Sherry Ibrahim
Bagi pelakon, Sherry Ibrahim, pihak produksi atau stesen televisyen sebaiknya memberi keutaman bakat-bakat artis tempatan sedia ada.
Menurutnya, walaupun pihak tersebut lebih menyasarkan keuntungan jika mengambil pelakon luar, namun tidak salah selepas ini memberi pula peluang buat bintang tempatan untuk memainkan watak besar dalam sebuah karya.
“Bagi saya, perkara ini bergantung kepada produk yang mereka ingin keluarkan. Tetapi, lebih baik mengutamakan artis-artis tempatan. Artis di Malaysia ini ramai juga yang berbakat.
“Jika melihat negara luar, mereka lebih menghargai artis tempatan berbanding orang luar. Saya rasa, pihak produksi perlu lebih membuka minda untuk mengangkat artis tempatan daripada mengambil artis luar.
“Bukan apa, kerana kesian artis-artis di Malaysia ini banyak tetapi orang tidak nampak untuk diberi peluang membawa watak yang menarik,” katanya.
Mengulas lanjut, pelakon itu juga berharap industri ini dapat membuka mata dengan bakat sedia ada, bukan hanya memikirkan perniagaan untuk mengaut keuntungan sahaja.
“Ini juga mengenai perniagaan. Jika stesen televisyen mengambil artis luar negara, lebih dapat impak yang besar dan menarik lebih ramai penonton untuk pulangan modal. Tetapi,masih tidak rugi kalau ambil artis tempatan berbakat untuk diketengahkan lagi.
“Jika pihak produksi mengambil mereka untuk membawa watak yang besar, saya yakin penonton akan lebih menghargai dan suka. Lebih baik kita membantu dan menyokong bakat sedia ada.
“Sedih juga, ada segelintir pelakon yang hanya bergantung dengan industri ini sahaja. Lebih baik kita menghargai apa yang ada, secara tidak langsung mereka pun ada pekerjaan sebagai sumber rezeki,” tuturnya panjang.
Bayaran saya sama macam artis Malaysia – Mark Adam
Meskipun ada segelintir yang beranggapan artis luar Malaysia dibayar mahal. Sebaliknya, penyanyi Mark Adam mendedahkan bayarannya sama rata dengan selebriti tempatan.
Menurut penyanyi, pelakon dan pengacara yang sudah bertapak di Malaysia sejak lapan tahun itu, isu bayaran ini bergantung pada permintaan pasaran atau pun kos-kos lain.
“Kalau tanya saya, Alhamdulillah saya menerima layanan dan bayaran sama rata dengan artis tempatan sedia ada.
“Namun dalam pengetahuan saya ada juga artis yang dibayar tinggi. Tapi tengoklah siapa artis yang dipilih, mungkin kalau nama tengah ‘in’ lebih tinggi bayarannya.
“Mengenai bayaran artis luar negara sudah pastilah tinggi sebab nak tampung kos-kos seperti penginapan dan penerbangan serta lain-lain,” ujarnya.
Sementelah itu, katanya, antara lain peruntukan yang penerbit dan TV stesen “laburkan” mengikut sesebuah projek.
“Hal berkenaan juga berbeza-beza mengikut projek yang kita ambil dan terima,” akhiri penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Pencuri dan Marry Me itu.
Masih boleh dibawa berbincang – Pekin Ibrahim
Pelakon berpengalaman, Pekin Ibrahim tidak menafikan wujudnya pihak-pihak tertentu dalam industri yang sanggup membayar pelakon luar dengan harga jauh lebih tinggi berbanding pelakon tempatan.
Namun, katanya perkara tersebut amat jarang berlaku dan bukan semua pelakon luar dibayar sebegitu.
“Nak kata artis luar negara semua dibayar mahal tidak juga. Selaku penerbit, saya pernah ambil pelakon luar bekerja dengan saya. Tentulah ada bayaran yang mereka tetapkan.
“Tetapi ikut pengalaman saya, mereka masih boleh dibawa berbincang. Tak ada masalah, boleh terima bayaran yang kita usulkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pekin berkata pelakon Malaysia perlu menjaga harga siling untuk bayaran yang diterima bagi drama atau filem.
“Pelakon luar ada harga siling yang mereka jaga. Berlainan dengan situasi di negara kita. Pelakon kena tahu harga siling, lebih-lebih lagi pelakon baharu. Mereka kena banyak bertanya dengan pelakon-pelakon lama.
“Pada masa yang sama, mungkin sudah masanya pelakon kita duduk semeja berbincang,” katanya.
Pengurusan luar tahu standard artis mereka – Farah Ahmad
Sudah lama bergelumang dengan dunia seni, pelakon, Farah Ahmad, tidak menolak dari pengamatannya, artis luar seringkali menerima bayaran yang tinggi kerana hampir 95 peratus daripada mereka mempunyai pengurusan yang tahu dan faham tanggungjawab mereka.
Katanya, pengurusan artis itu biasanya akan melihat segala aspek termasuk kontrak, kebajikan artis dan sebagainya sebelum meletakkan harga yang dirasakan berpatutan dan selayaknya buat artis yang dikendalikan.
Ia sekali gus memperlihatkan bahawa pengurusan benar-benar menjaga artis mereka pada standard yang sepatutnya.
“Saya tak tahu nak salahkan siapa kerana kita semua ada silapnya. Dari dulu, baik penerbit, stesen televisyen, produksi atau artis itu sendiri, kitalah yang merelakan perkara itu berlaku sebenarnya.
“Kita sepatutnya sudah ada penanda aras harga yang standard. Untuk pelakon yang dinilai dari segi kualiti bakatnya, ada standard harga tertentu yang diletakkan.Tentu, tawar-menawar itu tidak salah, tapi nilailah dari segi bakat dan komitmen pelakon itu selayaknya.
“Tapi di Malaysia, tidak berlaku sebegitu kerana dacing penilaian itu lebih berat pada bab populariti berbanding bakat,”katanya.
Farah juga melihat adalah wajar jika bayaran artis dinilai pada bakat dan bukannya cuma tertumpu pada populariti memandangkan perkara ini mampu memberi kesan buat industri pada masa akan datang.
“Kalau produksi, penerbit dan stesen televisyen menjaga bab bayaran ini pada artis tempatan. Bukan cuma pada orang luar. Secara tak langsung, baik pelakon, penyanyi atau sesiapa sahaja pekerja kreatif kita akan berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran diri masing-masing.
“Macam Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Supaya ia boleh kekalkan dan menaik taraf kemahiran. Bermaksud, setiap pelakon atau artis itu perlu berusaha lebih menjaga kualiti agar menerima bayaran yang setimpal.
“Bagi saya, rugilah bayar seseorang artis yang bersandar pada populariti saja sedangkan bakatnya pula semakin lama semakin merudum. Lepas itu, marah netizen yang mengecam artis kita ini tiada kualiti lakonan? Kasihanlah,”katanya.