Anak Mr. Os cuba nasib teruskan legasi komedi arwah - Utusan Malaysia

Anak Mr. Os cuba nasib teruskan legasi komedi arwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dikesan menyertai pertandingan pencarian bakat komedi menerusi program Mencari Sepahtu Yang Hilang, dua anak Allahyarham Mr.Os mengaku menyimpan hasrat untuk meneruskan legasi arwah bapa mereka dalam cabang seni ini.

Mohamad Hafizul Mohd Yusof, 25, dan abangnya, Mohamad Hazwan, 30, seboleh-bolehnya mahu merahsiakan identiti mereka sebagai anak pelawak legenda tersebut kerana enggan niat mereka disalah ertikan oleh orang luar.

Ia juga termasuk jika ada kalangan warganet dan masyarakat yang mungkin meletakkan jangkaan tinggi seandainya sudah tahu kedua-dua mereka merupakan anak Mr.Os.

“Ya, kami berdua memang anak Mr. Os. Tapi seboleh-bolehnya kami ini tak nak beritahu orang mengenai latar belakang diri kami. Dalam erti kata lain, tak nak dikenali sebagai anak Mr. Os.

“Bukan apa, timbul juga kerisauan di hati andai ada yang meletakkan harapan atau jangkaan yang tinggi pada kami. Maklumlah, bila orang dah tahu kami anak kepada seorang pelawak legenda nanti buat silap pun akan dikritik teruk dan kalau buat yang terbaik pun, orang akan mengata.

“Apa yang paling kami takut, bila orang tuduh kami nak tumpang populariti arwah ayah. Kami hanya membawa nama dan meneruskan legasi sahaja tapi yang pasti kami akan persembahan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Hazwan dan Hafizul berkata demikian semasa ditemui ketika sidang media pelancaran program realiti terbaharu Astro Warna iaitu Mencari Sepahtu Yang Hilang di The Summit 1, VE Hotel, The Vertical, Bangsar South, di ibu kota, semalam.

Selepas lebih sedekad, kini tiba masanya untuk Sepahtu mencari muka baharu untuk dijadikan edisi terkini kumpulan mereka menerusi program Mencari Sepahtu Yang Hilang.

Program terbaru yang dikendali oleh pelakon Ramona Zamzam dan Jiggy Masin itu akan bersiaran selama lapan minggu dan bakal menemui peminat mulai 2 Disember depan, 9 malam,di Astro Warna.

Selain duo yang dikenali dengan kumpulan Arteh ini, 11 lagi peserta yang turut bertanding ialah Yusra (solo), Muslim (solo), Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (peserta trio).

Dalam pada itu, kata Hazwan, dia dan adiknya berjaya terpilih untuk menyertai pertandingan realiti tersebut bukan disebabkan nama Allahyarham yang cukup disegani dalam arena komedi tanah air.

“Terus-terang, memang Pak Ya Sepahtu mengenali kami sebagai anak arwah Mr.Os. Tetapi itu bukan sebabnya kami terpilih dalam pertandingan ini. Masa hantar video uji bakat pertama, tak ada sebut pun nama arwah.

“Bila dah berjaya peringkat seterusnya, kami ditemu bual secara maya dengan ahli Sepahtu.
Dan ketika itu la baru Pak Ya perasan yang kami ini anak kepada Mr. Os. Sebab masa arwah masih hidup, kami yang menguruskan kerjayanya dan pernah la jumpa dengan Pak Ya.

“Tapi kata Pak Ya, dia dan anggota Sepahtu lain memilih kami bukan kerana mereka kenal kami sebagai anak arwah. Tapi sebab bakat yang ada pada kami,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya