“Saya juga mangsa” - Rafidah - Utusan Malaysia

“Saya juga mangsa” – Rafidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBETULAN sangat mengena dengan isu kontroversi yang sedang menular di dalam industri hiburan negara baru-baru ini. Tentang isu jenaka lucah, tidak sensitif dan aib terhadap kehormatan kaum wanita yang mana ia sepatutnya dilindungi.

Berpeluang bercakap dengan pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim, siapa sangka, hal seperti ini pernah berlaku pada dirinya tanpa enggan menyebut mana-mana syarikat dalam kejadian yang masih dianggap baru.

Menyuarakan hal itu di media sosial, dalam masa sama, Rafidah juga rancak memperjuangkan isu tersebut dengan mempelawa mana-mana mangsa lain untuk berkongsi pengalaman yang sama sebagaimana dirinya.

Bagaimanapun, satu yang dapat disimpulkan, rata-rata wanita yang menjadi mangsa, masih takut dan begitu terbatas dalam mengetahui hak mereka jika terpalit berdepan dengan isu gangguan seksual. Berikut ialah temubual Pancaindera bersama penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang ini.

Sejak bila Rafidah bergiat dalam gerakan buat mana-mana wanita yang pernah berdepan dengan gangguan seksual? Adakah di bawah sesebuah NGO atau bagaimana?
Saya ada sertai Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia yang berada di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun ini. Sebelum ini, saya ada sertai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), tetapi itu lebih kepada isu akademik. Namun mengenai isu yang saya ketengahkan ini bukanlah di bawah mana-mana NGO dan memuat naik perkara itu di media sosial kerana ia berlaku kepada diri sendiri. Bila saya kongsikan, rupanya banyak berlaku pada belia-belia lain yang bekerja dan mereka menceritakan pengalaman gangguan seksual di tempat kerja termasuk di tempat belajar. Pendek kata, perkara ini begitu banyak berlaku di merata tempat.

Mengapa Rafidah tergerak hati untuk terlibat dalam gerakan seperti ini?

Bila terkena pada diri sendiri, saya fikir, jika ada orang boleh buat kita begitu, inikan pula orang lain. Sebab, orang selalu anggap, wanita Muslimah ini boleh diperlakukan sesuka hati. Benda macam ini, bila berlaku, mangsa jadi segan atau takut nak bercerita. Ada antara orang yang berkongsi pengalaman dengan saya, mereka dakwa sampai ada lelaki yang melakukan gangguan fizikal. Tapi mereka tak berani cakap sebab isu ini dianggap memalukan atau bimbang diberhentikan apabila diadu pada pihak atasan.

Difahamkan, Rafidah sebelum ini pernah ada pengalaman gangguan seksual. Betul?
Kejadian itu baru saja berlaku pada saya. Bagi saya, individu tersebut tidak menghormati saya sebagai wanita yang sudah berstatus isteri orang. Malah, saya lihat sendiri, individu itu melakukan hal yang sama pada pekerja-pekerja lain. Rata-rata jelas nampak muka tidak selesa, tetapi takut bersuara kerana bimbang disusahkan di tempat kerja. Ternyata, bila saya suarakan, ia berlaku. Saya kemudiannya diberikan surat penamatan kontrak. Benda begini bila kita suarakan, ada orang yang sudah biasa buat begitu, dia tak boleh terima. Jadi dia cuba tunjuk kuasa apa lagi bila berada di posisi pemimpin.

Apa pula tindakan suami untuk mempertahankan dakwaan Fida?
Kami berbincang dan kini sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang bersama peguam.Lagipun kami ada bukti. Ada juga banyak perkara lain yang berkait dan apabila kami rujuk kepada Jabatan Buruh,mereka juga mengatakan pihak tersebut salah.
Kami pun tidak bertindak melulu, tentunya telah melakukan penelitian dan suami juga menganggap ini bukan hal yang kecil. Kalau boleh berlaku pada saya, tak mustahil juga orang lain. Awal-awal mungkin boleh dianggap terlepas cakap atau cuma bergurau. Tetapi jika sudah terlalu kerap dan ia juga berlaku terhadap pekerja-pekerja lain seperti sudah normaslisasi, ia tidak wajar didiamkan.

Orang tengok perwatakan Fida, barangkali akan fikir awak wanita lemah menyebabkan wujud individu celupar dan berani melakukan gangguan seksual. Komen?
Setakat perkara kecil, saya tiada masalah. Tapi bila melibatkan hal sensitif dan ia terjadi di depan mata terhadap wanita lain, saya perlu bangkit suarakan. Bagi saya, individu seperti itu tidak menghormati wanita. Tidak semestinya perkara ini terjadi pada wanita bertudung, yang tidak juga pasti pernah mengalaminya. Pula itu, dalam pengalaman sendiri, saya lihat si isterinya pula seakan menyokong tindakan suami melakukan gangguan seksual termasuk ‘body shaming’ terhadap orang lain.
Menganggap ia perkara biasa dan tidak pernah menegur. Yang menjadi mangsa pula, adakala tidak tahu hak sebab itu tak berani nak buat apa-apa termasuk buat laporan pada pihak tertentu.

Perihal seperti ini masih dianggap begitu tabu dalam kalangan masyarakat kita. Mungkin tidak ketara, tetapi ia nyata berlaku. Komen?
Ia tidak ketara apabila orang anggap ia normal. Apabila orang buat lawak sensitif, lawak lucah, orang anggap ia tidak apa. Sedangkan kalau ditanya pada kebanyakan wanita, rata-rata mengaku tidak selesa dan malu. Kebetulan, dengan apa yang berlaku dalam industri baru-baru ini.
Serupa. Sepatutnya kena waraskan akal fikiran, wanita yang sudah berubah ke arah kebaikan, imej, status, hormatilah. Tak mungkin dia suka dikaitkan dengan hal lama. Apabila dia sudah bersuami, wanita itu adalah hak suaminya.

Perjuangan Rafidah ini mungkin dianggap remeh oleh segelintir pihak, terutamanya mungkin buat lelaki. Apakah ia akan mengganggu gugat usaha awak?
Mungkin orang akan fikir hal ini terjadi pada diri sendiri, maka barulah saya nak perjuangkan. Itu salah. Ia bukan sebab peribadi. Bila terkena, saya fikir apa akan jadi pada generasi seterusnya? Kalau tidak disuarakan, diperjuangkan, akan ada lebih banyak mangsa dan pemangsa. Tak akanlah sampai nak terjadi perkara buruk, baru kita nak buat sesuatu?
Kalau ia terjadi di tempat kerja, tak akanlah kita nak tengok kepimpinan berkelakuan lucah terus diangkat? Orang bukan hormat sebaliknya lebih kepada takut untuk bercakap kerana risau periuk nasi masing-masing terjejas. Kalau perkara itu terjadi pada anak-anak kita, mahu dibiarkan? Mangsa akan jadi trauma dan seterusnya dibelenggu dengan masalah lain seperti kesihatan mental, perubahan gaya hidup negatif dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya