SEREMBAN: Sekolah Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor telah membina sebuah sistem penuaian air hujan di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar di Ampangan di sini.
Sistem tersebut yang dihasilkan 40 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Kejuruteraan Awam adalah bertujuan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolaj mengenai cara alternatif dalam mendapatkan sumber air yang bersih untuk kegunaan harian.
Penasihat projek Rainwater Harvesting Project Plan for School (RHPPS) itu, Ts. Dr. Yazmin Sahol Hamid berkata, pelaksanaan program menerusi kursus Service Leaming Malaysia University for Society (Sulam) turut mendapat kerjasama dari pihak Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).
“Program ini telah dimulakan seawal bulan April lalu, di mana mempunyai kerangka tiga fasa utama pelaksanaan. Fasa perancangan menekankan identifikasi lokasi pemasangan sistem tadahan hujan, penyediaan peralatan dan bahan, serta penentuan anggaran kos menjadi tumpuan utama.
“Seterusnya, fasa implementasi adalah pendedahan tentang pemasangan sistem tadahan hujan di lokasi yang ditetapkan saliran dan fasa terakhir program ini adalah fasa pendidikan dan kesedaran dengan melaksanakan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pengurusan air dan kelestarian alam sekitar.
“Ia dijalankan melalui sesi pembelajaran, demonstrasi praktikal serta pemantauan prestasi sistem tadahan hujan dan penyelidikan berkaitan dengan kualiti air hujan yang terkumpul,” katanya majlis perasmian projek berkenaan di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, projek RHPPS kini berada dalam peringkat akhir di mana proses pemantauan dan pengawasan terhadap pencapaian projek dilakukan.
Katanya, menerusi program ini diharapkan dapat mengurangkan tekanan terhadap bekalan air bersih di sekolah serta memperkenalkan amalan kelestarian alam yang lebih baik dalam kalangan generasi muda.
“Sistem tadahan hujan ini bertujuan untuk mengumpulkan, menyimpan, dan mengolah air hujan yang jatuh di kawasan sekolah.
“Melalui pemasangan sistem ini, kami dapat meningkatkan pengurusan sumber air dengan mengurangkan kebergantungan pada bekalan air bersih dari sumber luar seperti loji air atau paip kota.
“Dengan kerjasama Nahrim juga, sistem ini dapat menampung penggunaan air di garaj bas sekolah tersebut dengan anggaran penggunaan air sebanyak 300 liter untuk kegunaan membasuh bas dan 11 liter akan digunakan untuk aktiviti menyiram bunga dalam tempoh sebulan,” katanya lagi.-UTUSAN.








