KUALA LUMPUR : Berpegang pada prinsip mahu membantu lebih ramai individu yang dibelenggu dengan kesan buruk pandemik terutama mereka yang kehilangan sumber pendapatan, tiga sekawan iaitu Mohd Hafizi Haris, Rahmatullah Samshuddin dan Khairul Abror Rodzay tampil membuka peluang.
Berkongsi minat yang sama dalam bidang perniagaan, tiga jejaka ini mula menggerakkan usaha tersebut lima bulan lalu menerusi pemasaran produk Darra White kendalian syarikat Nuraz Naila Trading.
Menurut Mohd Hafizi, dia dan dua sahabat itu mula berkawan baik sejak setahun lalu dan tidak menafikan masing-masing pernah melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam bidang penuh berisiko ini.
“Kami masing masing berdepan pelbagai liku hidup sebelum akhirnya bertemu dan berkongsi minat yang sama iaitu dalam cabang perniagaan.
“Sebenarnya, selok-belok berniaga ini sudah lama saya dalami. Cuma biasalah, ada kala nasib dan rezeki tak menyebelahi. Saya pernah berniaga air jus di tepi jalan sekitar hujung tahun 2016 selepas berhenti kerja di sebuah kolej swasta di Perlis namun rezeki tidak berpanjangan apabila jualan semakin merudum.
“Selepas enam bulan bekerja keras dengan Khairul dan Rahmatullah,Alhamdullillah, rezeki semakin menyebelahi dan ia berjaya mengubah kehidupan kami,”katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga berbangga kerana setakat ini lebih 300 ejen telah berjaya direkrut dan kerana itu ketiga-tiga mereka mahu membuka peluang untuk lebih ramai individu di luar sana untuk bersama-sama menjana pendapatan.
Sementara itu, Khairul Abror berasal dari Pokok Sena, Kedah pula berkata, minatnya dalam bidang perniagaan sudah sedia ada sejak bergelar pelajar dalam jurusan Syariah Perundangan di Mesir lagi.
Kata Khairul, dia juga tidak menyesal membuat keputusan berhenti belajar di Mesir walaupun ketika itu sudah berada di tahun keempat dek minat yang lebih tertumpu pada dunia perniagaan.
“Saya nekad berhenti belajar untuk menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa. Bahkan saya pernah cuba pelbagai cabang perniagaan, tapi ada yang kurang menjadi. Malah, pernah juga sesekali terlintas untuk mengalah.
“Saya bagai beroleh semangat baru saat taraf kehidupan mula berubah. Namun kami tak mahu tamak dengan nikmat itu, sebaliknya nak wujudkan ramai peniaga dan membantu mereka bebas daripada masalah kewangan.
“Kami juga mahu bantu peniaga lain dari putus asa dalam berniaga,”katanya.
Berkongsi pandangan yang sama, Rahmatullah yang merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal ada sebab tersendiri dalam memberi tumpuan pada dunia perniagaan.
Katanya, selepas tamat pengajian, dia yang bekerja sebagai juruteknik sebelum ini bagaimanapun pernah beberapa kali bertukar profesion selama hampir sembilan tahun menggalas status sebagai anak perantau.
“Jujurnya, selama tempoh itu juga saya boros dan tak menyimpan duit. Tahun lalu, dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19, masalah kewangan saya menjadi kritikal. Malah majikan turut memotong separuh gaji kerana keadaan memaksa.
“Macam-macam kerja berniaga saya cuba untuk menampung hidup. Tapi perkenalan dengan dua sahabat ini akhirnya telah mengubah takdir hidup saya.Dengan hanya bermodalkan wang baki hasil pekerjaan terdahulu, saya mengorak langkah bermula sebagai ejen.
“Hasil kerja keras dan usaha yang tidak pernah putus asa kini saya boleh berbangga dengan kejayaan diri. Sasaran akhir tahun ini memang nak ada 50 usahawan baru di bawah saya,” katanya.
Bagi mereka yang ingin meninjau peluang untuk menjana pendapatan, boleh layari akaun instagram Darra White selain mendapatkan maklumat lanjut.