KUALA LUMPUR : Merasakan dirinya sering menerima tekanan dan kebencian daripada orang sekeliling, penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani, 22, berkongsi luahan perasaannya di Instagram semalam.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar dan Bidadari ini dilihat mendedikasikan luahan perasaan tersebut kepada ibunya, penyanyi veteran terkenal era 80-an, Suliza Salam, sambil menyifatkan dirinya tidak sempurna sebagai seorang anak yang baik.
“Mama, saya minta maaf jika tidak mampu menjadi seorang anak yang baik untuk mama. Tetapi saya tahu, mama akan sentiasa memahami tekanan dan kebencian daripada orang di sekeliling dalam hidup saya.
“Saya tidak sempurna namun masih sedang berusaha untuk menjadi seseorang yang sempurna. Tetapi, saya sedar, saya sudah penat untuk membuktikan semuanya kepada semua.
“Penat untuk berada dalam posisi di mana semua orang menjangkakan lebih daripada saya,”katanya dalam hantaran di Instagram.
Selain itu, Ismail juga menjelaskan bahawa dia juga merupakan seorang manusia biasa yang memerlukan masa dan ruang untuk mengenal dirinya sendiri.
“Cuma seorang lelaki yang ingin memahami siapa sebenarnya diri ini. Saya cuma nak cakap, terima kasih kerana sentiasa menyayangi diri ini.
“Saya juga mahu mama tahu yang saya sangat menyayangi mama. Saya benar-benar minta maaf,”katanya.
Perkongsian tersebut telah mendapat respons yang pelbagai daripada peminat dan pengikutnya.
Namun yang paling mendapat perhatian adalah komen yang ditinggalkan oleh ibunya yang memberi maklum balas terhadap perkongsian Ismail tersebut.
Dilihat cuba memujuk dan memberi kata nasihat kepada Ismail, Suliza memberitahu dia cuma menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang menegur setiap kelakuan anak-anaknya.
“Mama juga menyayangimu, anakku. Bertabahlah dan jangan putus asa ya sayang. Allah SWT ada. Mama ada saja untuk sayang.
“Kalau mama marah atau tegur, sebab mama sayang okey. Sebab itu adalah amanah yang wajib mama laksanakan. Kalau baik, mama mesti sokong dan pastinya tak semua yang sayang buat, adalah betul.
“Begitu juga dengan remaja-remaja di luar sana. Jaga perilaku baik-baik. Hormati sesama insan sebab tiada siapa antara kita yang sempurna. Hari ini kita mengara dan mengeji orang, entah-entah esok atau lusa, anda pula yang akan buat benda lebih teruk daripada orang tersebut,”katanya.
Dalam pada itu, Suliza juga menasihati setiap pengikut dan peminat-peminat Ismail agar jangan terlalu mudah menghukum namun mengalu-alukan teguran yang bersifat membina.
“Terima kasih untuk segala kata-kata semangat untuk dia. Dia okey. InsyaAllah. Berkat doa semua. Semoga Allah SWT juga memberkati anda semua,”katanya.
Untuk rekod, Ismail aktif memulakan kerjaya seninya sekitar tahun 2017 di bawah naungan syarikat pengurusan World Peace Entertainment.
Ismail hadir dengan penampilan sulung menerusi lagu berjudul Sabar sebelum kemudiannya muncul dengan lagu berjudul Demi Kita, Luar Biasa, Save Me dan banyak lagi.