fbpx

27 Jun 2022, 4:26 am

  TERKINI

Dimaki dikecam, Fauzi Nawawi maafkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tampil memohon maaf atas kekhilafannya terlepas kata berhubung isu membabitkan pengalaman berlakon bersama Raja Farah menerusi filem Anak Halal, Fauzi Nawawi mengaku turut menerima ‘habuannya’ apabila dihujani dengan kata cacian daripada warganet di media sosial.

Menurut pelakon ini, sejak semalam, media sosialnya khususnya di Twitter dan Instagram telah menjadi sasaran warganet yang didakwa berang dan tidak berpuas hati dengan tindakannya mengulas mengenai satu babak rogol yang dilakonkan bersama pelakon Raja Farah dalam sebuah rakaman program televisyen.

“Minta maaf kerana mungkin video ini agak lambat saya muat naik di media sosial kerana saya pun baru balik dari penggambaran.Saya kerja dan mendapat tahu mengenai berita ini pun sudah lewat malam semasa di set penggambaran.

“Kebetulan saya pun sedang menjalani babak yang berat, jadi terpaksa tutup semua komen sebab tak nak menganggu fikiran. Saya tak tahu apa yang netizen marah sangat sampai sanggup maki dan hantar mesej yang bukan-bukan di Instagram.

“Begitu juga di Twitter, saya tengok ramai maki panggil saya celaka, babi. Tak apa, saya terima dengan lapang dada dan tenang walaupun kusut juga fikiran ini,”katanya dalam satu hantaran di Instagram malam tadi.

Menjelaskan keadaan sebenar, kata Fauzi, rakaman program televisyen berkenaan telah berlangsung pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan sudah lama ditayangkan namun tidak pasti mengapa ia dikecohkan sekarang.

“Sebenarnya, saya tersedar telah terlepas cakap selepas habis rakaman program itu. Saya sudah minta pihak penerbit atau produksi untuk memotong bahagian yang sensitif sebab masa kami bersembang antara lelaki ini, ada yang tak terkawal cakap dan terlepas pula nama Raja Farah.

“Ketika itu hos bertanyakan tentang watak yang sering bawakan sekitar 13 tahun lalu yang begitu sinonim dengan saya. Bila sudah terlepas cakap, saya sendiri pun rasa perkara itu patut dibuang atau ditutup. Tak tahu pula baru hari ini (semalam) ia ditularkan di Twitter,”katanya.

Bagaimanapun, Fauzi mengaku kekhilafan diri dan menganggap dirinya jahil selain berkali-kali memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan khususnya kepada Raja Farah, suami dan keluarga mereka yang tersinggung dengan perbuatannya menerusi rakaman video itu.

“Saya mohon maaf kepada semua sekali yang menyebarkan rakaman program televisyen itu termasuk kepada semua yang terkesan dengannya terutama kepada Raja Farah, suami dan keluarga.

“Saya mengaku jahil, tak baik tapi saya sedang perbaiki diri ke arah yang lebih baik. Kepada yang sensitif dan terkesan, saya mohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki. Tak ada niat nak memalukan dan tak nak pun perkara ini dipanjangkan.

“Kepada netizen yang sanggup maki mak, keluarga dan anak-anak saya, pun saya maafkan dan anggap anda semua ini terlalu prihatin dan sayangkan saya sebab itu sanggup maki. Terima kasih kerana mengingatkan saya secara kasar atau baik. Saya terima dengan rela hati,”katanya.

Semalam, kecoh di media sosial apabila satu rakaman program televisyen membabitkan Fauzi dan beberapa orang pelakon lelaki lain yang membicarakan topik babak rogol menjadi perhatian warganet.

Menerusi rakaman program itu, Fauzi dilihat sedang memberi contoh bagaimana watak jahat yang dibawanya menerusi satu babak dalam filem Anak Halal bersama raja Farah namun babak tersebut terpaksa dipotong atas permintaan ibu bapa pelakon wanita tersebut.

Terdahulu, Raja Farah dan suaminya, Iskandar Ismail, terpaksa mengambil jalan membuat satu kenyataan di media sosial setelah didesak ramai terutama pengikut mereka yang merasakan perkara tersebut tidak wajar diperdebatkan secara umum.

Menerusi satu hantaran video di Instagram, Farah melahirkan rasa kecewa setelah merasakan dirinya tidak dihormati sebagai isteri orang manakala suaminya, Iskandar menegur perbuatan Fauzi dan mereka yang terbabit dalam program itu dengan menyifatkan pelaku bagai tidak menjaga aib dan kehormatan kaum wanita.

POPULAR

KOSMO! TERKINI